Buletin

TAHUKAH ANDA TOYOTA YARIS PERNAH DIJUAL DI M’SIA? INI MODEL SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-20

Pada tahun 2006 dahulu UMW Toyota pernah menawarkan Toyota Yaris dan bersaing dengan beberapa model seperti Honda Jazz, Suzuki Swift dan Naza Bestari.

Dalam saingan ini kelihatan Honda Jazz lebih digemari walaupun dalam lingkungan harga sama (RM 90 ribu ke atas).

Selepas itu tiada lagi Yaris ditawarkan dan Jazz terus menguasai pasaran tambahan pula model generasi baharu dipasang dalam negara dengan harga yang menarik dan spesifikasi bagus.

Namun saingan dalam segmen B tidak dibiarkan begitu sahaja, UMWT pernah menawarkan Prius C dan sekali lagi Honda mempunyai jawapan iaitu Jazz Hybrid.

Kini Jazz begitu selesa tanpa saingan kuat sama ada dari jenama Jepun, Korea Selatan atau Eropah.

Toyota Yaris Indonesia

Yaris sebenarnya adalah sebuah model yang menarik, ia dijual di begitu banyak pasaran dunia termasuk di Eropah. Model ini sendiri boleh didapati di negara ASEAN lain seperti Thailand dan Indonesia.

Cuma satu perkara yang harus diketahui ialah Yaris Eropah atau Amerika Syarikat tidak sama dengan model ASEAN.

Dalam barisan kenderaan Toyota, Yaris sudah berusia 20 tahun sejak diperkenalkan buat kali pertama di Pameran Kenderaan Paris.

Bagi meraikan ulangtahun ke-20, Toyota memperkenalkan edisi 1998 Launch Edition Y20 dengan warna emas sama seperti Yaris 1998 dan tambahan warna kelabu gelap pada bumbung.

Toyota Yaris GRMN

Model ini akan mula ditawarkan kepada pelanggan di Eropah bermula tahun depan dan ia menggantikan varian Mid+. Bagi memeriahkan edisi istimewa ini, beberapa warna lain turut ditawarkan seperti perak, hitam atau mutiara yang dipandankan bersama bumbung berwarna kelabu gelap.

Selain warna, ciri istimewa lain Y20 ialah roda aloi 16 inci sepuluh rongga, warna kelabu gelap untuk pelekap sisi, cermin sisi, antena sirip ikan yu, emblem Y20, cermin belakang privasi dan lampu kabus dengan kemasan krom.

Bahagian dalaman diteruskan dengan tema kelabu gelap pada konsol tengah, kemasan stereng manakala kerusi pula didatangkan dengan fabrik bercorak baharu.

Turut istimewa ialah warna satin krom pada corong udara, pembesar suara, meter dan tombol gear. Karpet pula mempunyai kemasan perak manakala logo Y20 ditayangkan pada panel intrumen dan kerusi.

Sistem multimedia baharu pula mempunyai sambungan dengan telefon pintar bagi berkongsi aplikasi seperti navigasi dan turut mempunyai fungsi arahan suara.

Berkenaan tawaran Yaris di pasaran tempatan pula, ada satu laporan pada Julai lalu menyebut versi ASEAN bakal diperkenalkan.

Kami pun tidak pasti tentangnya tetapi selepas melihat UMWT melancarkan Toyota Rush baharu, kami yakin jika ditawarkan kelak ia bakal hadir dengan pakej menarik bagi menyaingi Honda Jazz.

BACA: TOYOTA YARIS GRMN GUNA ENJIN SUPERCHARGED 1.8 LITER BERKUASA 205hp

BACA: TOYOTA YARIS iA – INI MAZDA ATAU TOYOTA ATAU APA NI?

Google ads
Back to top button