Buletin

TEMPAHAN LEXUS LM350 KINI DIBUKA. V6 296HP, LEXUS SAFETY SYSTEM +, RM1.14 JUTA SEUNIT

Lexus Malaysia hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk MPV serba mewah, Lexus LM350 kini sudah dibuka untuk tempahan.

Tampil dengan hospitaliti Omotenashi MPV dengan ruang dalaman seperti lounge kelas pertama itu pasti dapat memenuhi apa jua ekspektasi anda.

Lexus LM350 yang didatangkan dalam pilihan warna hitam dan putih mutiara itu ditawarkan pada harga RM1.148 juta (tidak termasuk insurans) di Semenanjung Malaysia.

MPV dengan kapasiti empat tempat duduk tersebut juga hadir bersama jaminan komprehensif selama lima tahun tanpa had perbatuan.

Jentera itu dijangka dilancarkan secara rasmi pada Mei 2021 dengan pembeli terawal bakal menerima kunci masing-masing sebulan kemudian. Jadi kalau berhajat, tempahan sudah dibuat bermula hari ini (23 Disember 2020) di semua enam cawangan Lexus di seluruh negara.

Melihat pada bahagian luaran, Lexus LM350 tampil menawan dengan gril spindle besar yang dikontraskan dengan lampu utama jenis LED projektor 3-beam ultra kompak.

Ia kemudian dipasang dengan rim aloi yang mampu mengurangkan bunyi bising bersaiz 18 inci bersama kemasan krom metalik hiper. Sekali gus menyerlahkan lagi kemasan-kemasan krom lain yang ada pada kenderaan ini.

Lexus LM350 dikuasakan oleh enjin quad cam V6 bersesaran 3.5 liter. Mampu menjana kuasa mencecah 296hp dan tork 361Nm, ia dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan direct shift.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, jentera tersebut dilengkapi Lexus Safety System + (LSS+). Sistem itu terdiri daripada Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Tracing Assist (LTA), Lane Departure Alert (LDA), Adaptive High-Beam System (AHS) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). Di samping tujuh beg udara dan pelbagai sistem keselamatan pasif yang lain.

Masuk ke dalam kabin, anda akan merasai kemewahan sebenar sebuah Lexus. Ruang dalaman ini dipasang dengan bermacam-macam ciri yang ada pada model Lexus lain.

Antaranya ialah skrin sentuh bersaiz 12.3 inci yang boleh dikawal menerusi satu pad sentuhan. Ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto juga ada disediakan.

Fokus sebenar Lexus LM350 ialah kepada penumpangnya. Dengan hanya empat tempat duduk dibalut kulit, ruang dalamannya cukup luas. Malah, kerusi Adaptipedic itu boleh dibaringkan sepenuhnya.

Penumpang boleh mengaktifkan fungsi urutan Ottoman pada dengan ciri pemanas dan penyejukan menerusi butang pada konsol tengah. Nikmati juga kualiti bunyi seperti berada dalam teater opera daripada sistem audio Mark Levinson yang dilengkapi 19 unit pembesar suara.

Perjalanan tidak pernah membosankan dengan panel skrin HD penuh bersaiz 26 inci yang dipadang di antara dua baris tempat duduk. Skrin tersebut menawarkan pelbagai fungsi dan ketersambungan untuk kemudahan semua.

Bagi memberi lebih privasi, pasukan jurutera Lexus telah memasang satu kepingan kaca yang boleh dinaik atau diturunkan dengan hanya perlu menekan satu butang sahaja.

Amacam, on tak on ni?  

GALERI

Google ads
Back to top button