Buletin

TEMPAHAN TOYOTA ALPHARD DAN VELLFIRE 2020 KINI DIBUKA. HARGA BERMULA RM383K

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan pengenalan MPV premium Toyota Alphard dan Toyota Vellfire facelift 2020. Tempahan pra-pelancaran juga telah dibuka mulai semalam di semua pengedar sah Toyota serta cawangan UMWT seluruh negara.

Hadir dalam satu varian sahaja, Vellfire ditawarkan pada harga bermula RM383,000 dan RM465,000 bagi Alphard (dua varian).

Pelanggan boleh memilih daripada empat warna luaran iaitu Luxury White Pearl CS GF (Alphard 3.5 Executive Lounge dan Alphard 3.5L), Burning Black CS GF (Vellfire 2.5L) dan White Pearl C, Graphite Metallic serta Black bagi kedua-dua model.

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Alphard dan Vellfire 2020 menerima banyak penambahbaikan seperti berikut:

  • Toyota Safety Sense (TSS)
  • Sistem Brek Sokongan Parkir
  • Sistem Infotainmen AVX 9-inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto
  • Perakam Video Digital (DVR) depan dan belakang
  • Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
  • Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)

Toyota Safety Sense (TSS) ialah pakej sistem keselamatan yang dapat membantu pemandu mengelak daripada terlibat dalam kemalangan atau mengurangkan kecederaan sekiranya ia berlaku.

Ia merangkumi Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA), Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC) – Semua Kelajuan.

Sistem Brek Sokongan Parkir pula berfungsi mengesan objek di kawasan sekitar kenderaan ketika hendak memarkir kenderaan. Sekiranya ada objek dikesan, brek akan ditekan secara automatik dan kuasa enjin akan dihadkan supaya perlanggaran boleh dielak. Sekiranya perlanggaran tetap berlaku, sistem berkenaan dapat mengurangkan kerosakan.

Selain ciri Peninjau Pandangan Panoramik (PVM) yang membolehkan pemandu memantau sekeliling kenderaan, DVR di depan dan belakang akan merakam visual secara berterusan. Dalam situasi tertentu, rakaman itu boleh menjadi bahan bukti berguna kepada pemilik kenderaan.

Sistem Telematik Kenderaan (VTS) bagi Vellfire dan Alphard merupakan ciri sambungan yang menggunakan GPS/GSM untuk mengesan lokasi kenderaan pada setiap masa. Ini dapat membantu pencarian kenderaan oleh pihak polis sekiranya dicuri.

Dari segi rekaan, Alphard mengekalkan konsep Dynamic & Formal untuk memberikan MPV itu imej mewah. Vellfire tampil dengan gayaan “Cool Tech” moden yang memberinya satu identiti unik.  

Sama seperti semua model CBU UMWT, pemilik Vellfire dan Alphard akan diberi jaminan kilang sepenuhnya dan alat ganti yang boleh didapati pada bila-bila masa.

Sokongan selepas jualan pula dilakukan oleh juruteknik terlatih yang akan menggunakan peralatan dan kelengkapan khusus.

Maklumat lanjut, sila layari laman web toyota.com.my atau hubungi talian bebas tol Toyota 1-800-8-TOYOTA (869682).

Google ads
Back to top button