KIA SORENTO 2020 DIPERKENAL PADA MAC, ‘ADIK’ TELLURIDE!
Kia Motors nampaknya semakin menemui kembali rentak dengan reka bentuk menawan selepas pelancaran beberapa model baharu. Terkini Sorento generasi keempat bakal dipertontonkan di Pameran Motor Antarabangsa Geneva 2020 pada Mac depan.
Jika ada yang sukakan SUV besar Telluride pasaran Amerika Syarikat, Sorento baharu diibaratkan sebagai ‘adik’ kepada model itu.
Kia sebenarnya telah memberikan fokus kepada portfolio SUV dengan dua model baharu iaitu Seltos dan SUV segmen A yang belum dinamakan.
Seltos yang merupakan SUV segmen B telah dilancarkan di Indonesia dan bakal menyusul di pasaran tempatan dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Sejak dari generasi pertama, Sorento mewah dengan spesifikasi pada harga berbaloi ditambah dengan saiz besar dan muatan tujuh tempat duduk.
Di peringkat global Sorento telah terjual melebihi tiga juta unit sejak dilancarkan pada 2002. SUV itu tidak pernah ketinggalan dijual di pasaran tempatan sehingga kini.
Sorento adalah model pertama yang dibangunkan daripada platform SUV saiz sederhana baharu. Dari segi saiz, Sorento hampir menyamai model yang lebih besar.
Bahagian depan Sorento kembali kepada gayaan berkotak dan bersegi yang menampakkannya sebagai SUV maskulin dan rugged. Gril depan tampil jelas dengan identiti ‘hidung harimau’ yang dibawa sejak Forte generasi pertama.
Bahagian sisi pula mempunyai ‘kink’ yang menarik pada bucu pintu. Bahagian belakang menerima pengaruh jelas daripada Telluride.
Tentang nadi kuasa, Kia belum mendedahkannya namun jangkaan ialah enjin 2.0L dan 2.5L petrol serta varian diesel 2.0L dan 2.2L. Cuma apa yang disahkan Kia ialah enjin hibrid bakal ditawarkan buat pertama kali untuk Sorento.
Maklumat lanjut mengenai Sorento akan terlerai dalam tempoh sebulan lagi.