Artikel PilihanMotosikal

TEMURAMAH BERSAMA PELUMBA MOTOGP NEGARA – HAFIZH SYAHRIN

Hafizh Syahrin membuat pendedahan sebagai pelumba MotoGP pertama Malaysia, proses pembelajaran yang mencabar dan peranan beliau dalam kebangkitan sukan bermotor negara. Berikut merupakan antara intipati temuramah dengan Hafizh Syahrin oleh Crash.net sewaktu MotoGP Australia untuk musim 2018 baru-baru ini.

Syahrin mengambil tempat sebagai pengganti Jonas Fogler dalam pasukan Monster Yamaha Tech 3 hanya dalam masa 11 jam selepas Fogler terpaksa menarik diri dari saingan musim 2018 akibat masalah kesihatan. Ia bagaikan tuah datang bergolek buat pelumba Malaysia untuk melakar sejarah sebagai pelumba MotoGP pertama Malaysia.

Bagaimana anda menilai pencapaian anda pada musim pertama sebagai rookie?

Hafizh Syahrin: Pada awal musim kami sendiri tidak menjangkakan keputusan yang cukup baik apatah lagi pada musim pertama. Kedudukan sebagai rookie juga agak baik walaupun masih ketinggalan beberapa mata kepada Morbidelli untuk mencabar kedudukan rookie terbaik. Saya akan berusaha sebaik mungkin dan percaya sesuatu akan berlaku dalam penghujung musim.

Pada awal musim pencapaian kami agak baik tetapi keadaan sedikit sukar pada pertengahan musim kerana kegagalan mendapatkan posisi yang baik sewaktu sesi ujian. Ada perlumbaan yang memberikan kami banyak mata dan ada juga masanya kami gagal meraih sebarang mata tapi saya akan berusaha dengan lebih keras untuk meningkatkan tahap fizikal pada perlumbaan seterusnya.

Ada tak masa-masa tertentu sepanjang tahun di mana anda mempelajari sesuatu yang hebat?   

HS: Saya selalunya cuba untuk lebih maju dalam segala aspek. Saya akan mengutip setiap pengalaman untuk mempertingkatkan diri sendiri dan motosikal supaya kami boleh lebih maju. Semuanya bila digabungkan akan memberikan kelebihan tambahan.

Sebagai pelumba MotoGP Malaysia yang pertama, adakah ia akan memberikan tekanan ataupun satu kebanggaan buat anda bila berlumba di laman sendiri?

HS: Tekanan semestinya ada tetapi pada masa yang sama ia juga bertindak sebagai motivasi untuk menghasilkan catatan yang lebih baik sebaik berada di atas motosikal. Sudah tentu ia akan menjadi perlumbaan yang hebat dengan cuaca yang baik berbanding Philip Island yang terlalu sejuk dan membuatkan saya demam.

Bagaimana dengan perancangan untuk musim depan memandangkan anda akan bertukar kepada jentera KTM?

HS: Saya akan meneruskan usaha seperti tahun ini tetapi kami akan berusaha lebih dalam musim sejuk tahun depan untuk membiasakan diri dengan jentera KTM yang bakal menggantikan Yamaha M1 sebelum ini. Ia sebuah jentera yang kompetitif dan terbukti cukup kompetitif dalam beberapa perlumbaan terakhir musim ini. Kami akan mencuba untuk menghasilkan keputusan yang lebih baik musim depan.

Anda telah melihat jentera KTM di atas litar pada tahun ini, adakah ia menarik hati anda?

HS: Motosikal KTM kelihatan semakin bertambah baik dan kelihatan cukup kompetitif di beberapa litar berbeza tetapi disebabkan mereka cuma mempunyai dua motosikal dan dua pelumba pada musim ini sukar untuk kita melihat perkembangan mereka. Tahun depan mungkin berbeza kerana terdapat pertambahan dua orang lagi pelumba.

BACA: HAFIZH SYAHRIN KEKAL DENGAN PASUKAN TECH3 UNTUK MUSIM 2019 – BAKAL GUNA JENTERA KTM

Bila kali pertama anda menunggang jentera KTM?

HS: Saya menunggangnya buat kali pertama di Valencia selepas perlumbaan terakhir MotoGP tahun ini.

Adakah ia akan menyebabkan anda menukar gaya menunggang?

HS: Saya belum pasti lagi. Saya akan menunggang sama seperti jentera M1 Yamaha sebelum ini tetapi jika ia perlukan perubahan sudah tentu ia akan dilakukan. Banyak yang perlu dipelajari paSukan dan saya sendiri dan sesi ujian musim sejuk memang ditunggu-tunggu.

2019 juga menyaksikan pasukan MotoGP pertama Malaysia yang bakal menggunakan jentera Yamaha. Apa pandangan anda?

HS: Sudah tentu ia sesuatu yang baik dan menarik dengan pasukan negara sendiri bertanding buat pertama kali. Mereka juga mempunyai mekanik berpengalaman dan semestinya menjadikan keadaan semakin menarik.

Adakah anda akan merasa kekok bersaing dengan pasukan dri negara sendiri?

HS: Sudah tentu tetapi pada masa yang sama merasa gembira kerana kini kita mempunyai pasukan sendiri dari Malaysia. Kami akan cuba berseronok dan menghabiskan masa bersama sewaktu di kawasan paddock.

 

Kredit kepada Crash.net

Google ads
Back to top button