Buletin

TESLA BAKAL LANCAR EV MAMPU MILIK, DIKENALI MODEL Q, ANGGARAN HARGA RM135K

Tesla dilaporkan bakal melancarkan kenderaan elektrik (EV) mampu milik baharu yang dikenali sebagai “Model Q” pada separuh pertama tahun 2025.

Maklumat ini muncul daripada laporan Deutsche Bank selepas Persidangan AutoTech yang berlangsung pada 5 Disember 2024, di mana Ketua Perhubungan Pelabur Tesla, Travis Axelrod, turut hadir.

Menurut laporan tersebut, Model Q dijangka ditawarkan pada harga kurang daripada RM135,000 sekiranya insentif cukai dilaksanakan, atau sekitar RM171,000 tanpa insentif.

EV ini akan dibangunkan berasaskan platform Tesla sedia ada, tetapi butiran lanjut tentang saiz, reka bentuk, dan perbezaannya dengan model lain seperti Model 3 masih belum didedahkan.

Laporan yang sama juga menyebut bahawa Tesla mungkin melancarkan model tambahan untuk memperluas pasaran dan mencapai sasaran pertumbuhan sehingga 30 peratus.

Salah satu model baharu yang diramalkan ialah versi jarak roda panjang Model Y dengan tiga barisan tempat duduk, di mana ia disasarkan untuk pasaran China tetapi berpotensi menarik perhatian pembeli di negara lain.

Tesla turut merancang memperkenalkan perkhidmatan teksi pandu sendiri di California dan Texas menjelang 2025.

Perkhidmatan ini akan menggunakan Model 3 dan Model Y yang dikendalikan dengan bantuan manusia untuk tujuan keselamatan.

Ia dijangka mendahului pelancaran robotaksi sepenuhnya, dikenali sebagai “Cybercab,” yang dirancang pada tahun 2026.

Tesla menyasarkan untuk mengurangkan kos pengeluaran Cybercab kepada sekitar RM135,000 seunit pada masa akan datang.

Namun, Tesla juga memberi amaran bahawa pelancaran model baharu ini mungkin memberi kesan sementara kepada keuntungan syarikat, terutamanya disebabkan pelaburan yang diperlukan untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Walaupun maklumat ini menjana banyak spekulasi, Tesla masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai Model Q atau jadual pelancaran perkhidmatan teksi pandu sendiri.

Google ads
Back to top button