Artikel Pilihan

TESLA SERAHKAN KERETA BAHARU PELANGGAN DENGAN TAYAR BERBEZA DEPAN BELAKANG – PARAH JUGAK QC MACAM NI

Perasaan bila nak terima kereta baharu ni memang lain macam. Kalau beli Bezza baharu pun dah buat anda tidak tidur malam inikan pula jika ianya sebuah Tesla Model X Plaid yang bernilai lebih RM500k. Tapi perasaan berbeza dialami Ethan Joseph bila terpaksa menolak Model X yang ditempah beliau sejak Ogos 2021 kerana beberapa isu keselamatan dan kualiti termasuklah tayar-tayar yang berbeza di bahagian hadapan dan belakang.

Ethan berkongsi pengalaman pahit beliau di media sosial menunjukkan sepasang tayar berbeza pada Model X yang sepatutnya diserahkan kepada beliau. Bahagian hadapan kereta itu dipasang dengan tayar Michelin Latitude Sport 3 berukuran 244/45R20 untuk musim panas manakala bahagian belakang pula menggunakan tayar Continental CrossContact LX Sport 275/45R20 untuk semua musim. Jauh benar beza kegunaan tayar tu.

Selain daripada jenama, kompaun dan corak bunga yang berbeza, kedua jenis tayar berkenaan juga disasarkan untuk musim berbeza sekaligus memberikan cengkaman dan kawalan yang berbeza. Kalau beli seken dan pasang dekat kereta lama mungkin okey untuk bawa ke kebun tapi Tesla Model X ini mempunyai 1020 hp kuasa weh. Dah la ni kereta baharu, Perodua pun tak pernah buat kesilapan macam ni.

Menurut Motor Trend, Tesla menawarkan gantian  untuk tayar-tayar belakang tersebut pada satu tarikh yang ditetapkan dan menyatakan mereka kekurangan stok tapi Ethan memang dah bengang dengan pilihan tersebut. Kalau bagitahu awal-awal kan senang.

Rupanya isu kat sini bukan setakat tayar yang berbeza tetapi beberapa kecacatan lain yang tidak sepatutnya ada pada sebuah kereta baharu. Antaranya ialah pemasangan panel badan yang tidak sekata luaran dan dalaman. Malah terdapat kotoran pada bahagian dalaman kabin yang tidak sepatutnya ada pada sebuah kereta yang hendak diserahkan kepada pelanggan.

Walaupun ini bukan kali pertama kereta-kereta keluaran Tesla menerima komplen daripada pelanggan, kes tayar berbeza ini memang agak luar biasa untuk sebuah kereta baru daripada jenama yang sangat dibanggakan pemiliknya, Elon Musk. Rasanya Musk kena berbuat sesuatu untuk menandingi standard syarikat-syarikat lawan yang kini berlumba-lumba untuk menghasilkan kereta-kereta EV yang lebih baik.

Kredit carscoops.com

Google ads
Back to top button