Artikel Pilihan

TIPS MEMILIH ALAT NAVIGASI GPS TERBAIK

Navigator GPS  atau kita biasa sebut sebagai navigasi GPS (atau GPS) merupakan alat yang penting dalam pemanduan di zaman moden ini. Suatu ketika dahulu memang jalan raya dan trafik masih kurang sibuk sekaligus memudahkan kita mencari tempat yang dituju.

Kini dengan jalan raya dan lebuh raya yang berselirat kadang-kadang memang cukup memeningkan kepala. Apatah lagi jika berada di tempat yang asing buat kita.

Tidak dinafikan, aplikasi seperti google map dan Waze adalah pilihan ramai buat masa ini, namun kelebiahn sebuah alat GPS, tidak mengganggu operasi telefon bimbit dan tidak memerlukan data untuk mengoperasikannya.

Jika anda perlukan sebuah GPS dan ingin mendapatkannya dalam masa yang terdekat, ini ada beberapa faktor yang boleh anda pertimbangkan sebelum membuat pilihan.

BAJET

Melainkan anda seorang jutawan kosmetik ataupun hartawan ternama, bajet merupakan satu perkara yang perlu diambil perhatian. Bajet yang besar memang akan memudahkan proses mendapatkan GPS terbaik (bukan GPS je, awek, rumah idaman, supercar Itali semua boleh dapat dengan bajet besar).

Tetapi jika bajet anda sekitar RM200-300, memadai dengan unit yang berskrin kecil dan fungsi yang terhad. Jika nak berjimat, boleh sahaja lihat dahulu model-model keluaran terdahulu tetapi hati-hati jangan sampai terbeli unit dengan peta jalan yang sudah ketinggalan zaman ataupun sudah tidak mempunyai peluang untuk dinaiktaraf (contohnya syarikat pengeluar sudah tidak beroperasi).

Bajet juga menentukan sama ada anda mahu memilih unit binaan dalam sekali dengan sistem audio ataupun unit berasingan yang boleh dibawa ke mana-mana. Unit binaan dalam biasanya lebih mahal dan unit berasingan pula mudah dibawa keluar jika anda menggunakan kenderaan yang berbeza.

CIRI-CIRI SEBENAR

Seterusnya ialah ciri-ciri sebuah GPS yang perlu diketahui sebelum membuat pilihan. Antara ciri penting ialah:

  • Saiz dan resolusi skrin paparan
  • Jenis receiver (penerimaan)
  • Arahan audio
  • Pelarasan perjalanan automatik dan lain-lain lagi

Saiz skrin sebenarnya berkait rapat dengam bajet anda. Semestinya skrin yang besar memerlukan bajet yang lebih. Cuba uji daya penglihatan anda dengan pelbagai saiz skrin bermula dengan yang paling kecil. Jika anda gagal membaca input pada skrin, cuba bertukar kepada saiz yang lebih besar.

Berkenaan dengan receiver (penerima) pula, cuba dapatkan unit dengan receiver sensitiviti tinggi. Ia memudahkan GPS anda menerima isyarat dari satelit dan memberikan bacaan lokasi yang lebih tepat.

GPS murah biasanya mempunyai receiver dengan sensitiviti rendah (tetapi bukan semua). Buat dulu perbandingan dengan mengujinya sebelum membeli.

Boleh dikatakan semua GPS mempunyai arahan audio yang berbeza-beza. Ada yang jelas ada yang tidak, ada yang bersuara lunak dan ada yang bersuara lemau. Pilih mana yang sesuai dengan anda. Menariknya sebahagian besar GPS menggunakan suara wanita untuk arahan audio. Apa suara garau Pak Amid tak best ke?

Selain daripada itu terdapat juga fungsi-fungsi lain yang sebenarnya tidak berapa berfaedah pun contohnya pemain video dan MP3, album foto dan sebagainya. Ia mungkin berguna tetapi tidak sepenting fungsi GPS ataupun peta elektronik yang ada padanya. Sama macam beli pisau pelbagai guna Swiss Army tetapi gunanya untuk buka tin sardin.

PEMPROSES (PROCESSOR)

Sebagai sebuah komputer kecil, GPS juga memerlukan sebuah prosessor yang cukup laju untuk membuat perkiraan dan memilih laluan yang sesuai. Pemproses yang kurang baik akan membuatkan ia lambat membuat perkiraan dan kadang-kadang membuatkan ia ‘Hang’ sekaligus mengganggu kelancaran perjalanan anda.

PETA ELEKTRONIK

Sebelum membeli pastikan juga kemudahan peta dan kemudahan naik tarafnya. Apatah lagi jika anda bercadang membeli unit yang sudah lama di pasaran dan dengan diskaun yang luar biasa.

Jangan sampai terbeli unit dengan peta yang sudah ketinggalan zaman. Ingat, jalan raya selalu berubah tau, jangan sampai sudah masuk parit baru terhegeh-hegeh nak update peta. Jika cas update terlalu mahal ataupun syarikat tersebut sudah tidak beroperasi, lupakan sahaja dan cari unit lain.

ALTERNATIF LAIN

Kemunculan telefon pintar dengan pelbagai kemudahan mungkin menyebabkan era penggunaan GPS makin berkurangan. Tetapi sebagai pemandu kami merasakan adalah wajar GPS tidak diletakkan bersekali dengan telefon.

Bukankah menggangu jika terpaksa menjawab panggilan masuk sewaktu sedang memerhatikan peta jalan. Satu lagi halangan penggunaan telefon pintar ialah penggunaan bateri yang agak tinggi. GPS lebih memudahkan dengan hanya menyambung soket kuasa untuk tenaga berterusan.

BACA: HELMET DENGAN FUNGSI HUD GPS

BACA: TVS ENTORQ DENGAN GPS BINADALAM

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button