Artikel Pilihan

MASUKKAN ALAMAT KE DALAM NAVIGASI ADALAH GANGGUAN PALING BERBAHAYA KETIKA MEMANDU

Gangguan ketika memandu memang banyak. Daripada anak menangis, isteri atau awek membebel di sebelah sehinggalah teringat teriakan bos di pejabat tadi. Semua gangguan itu boleh menjejaskan tumpuan kita ketika memandu. 

Namun begitu, kajian yang dijalankan oleh pihak IAM RoadSmart dan Auto Express Di United Kingdom mendapati ada sebab lain yang paling mengganggu konsentrasi anda apabila memegang stereng.

Kajian itu mendapati penggunaan navigasi merupakan gangguan yang paling berbahaya. Untuk menguji kesahihannya, Editor Auto Express, Joe Finnerty  duduk bersama bintang Formula 3 Britain yang semakin meningkat naik, Jamie Chadwick dalam satu simulator perlumbaan profesional di  Base Performance Simulators di Banbury.

Mereka dinilai apabila diminta memasukkan kod jalan, menamatkan pusingan dan membrek di poin-poin yang telah ditetapkan. Ketua Polisi Teknikal IAM RoadSmart, Tim Shallcross pula bertanggungjawab memantau keputusannya.

Hasilnya sangat mengejutkan dengan tugasan memasukkan alamat ke dalam aplikasi navigasi dilihat paling berbahaya. Ia diikuti oleh menghantar teks mesej. Tugasan lain yang diberikan termasuklah makan, minum, membuat panggilan telefon dan berbual dengan penumpang lain.

“Joe mengurangkan kelajuan secara signifikan ketika menggunakan navigasi. Jamie yang sangat fokus pula terlepas garisan berhenti. Moralnya? jangan abaikan amaran yang ditulis pada aplikasi navigasi anda,” kata Tim. Mengulas mengenai menghantar teks mesej pula, Joe mungkin membahayakan pengguna jalan raya lain kerana kereta kelihatan seperti hilang kawalan.

Berbual dengan penumpang dilihat sebagai ganguan yang paling minimum. Tetapi ia tetap memberi kesan dalam ujian membrek. Kajian ini jelas menunjukkan bahawa apa jua gangguan boleh mengurangkan tumpuan. Jika berlaku kecemasan, ia sangat berbahaya.

“Keputusan ini menunjukkan betapa pentingnya pemandu memberi tumpuan penuh ketika memandu. Kita masih boleh melihat begitu ramai pemandu menggunakan telefon bimbit, tidak kiralah sama ada untuk menghantar teks mesej, membuat panggilan atau memprogramkan aplikasi navigasi. Tabiat ini mesti diubah kerana ia tidak lagi bleh diterima,” tegas Ketua Editor Auto Express, Steve Fowler.

BACA: TIPS MEMILIH ALAT NAVIGASI TERBAIK

Google ads
Back to top button