Artikel Pilihan

TOUGE DRIFT: PENGALAMAN AKSI DRIFT KAMI DI JEPUN

Senarai benda-benda yang nak kita buat dalam hidup selalunya susah untuk dicapai. Kita pasti ada impian dan sudah tentu senarainya tidak boleh dilengkapkan sepenuhnya. Mungkin nak berjumpa Perdana Menteri Zimbabwe? Mungkin nak merasa naik kapal pengangkut perang? Atau mungkin nak bergambar selfie dengan Neelofa?

Nah, sebagai peminat kereta kami percaya setiap orang ada menyimpan impian nak ke Jepun. Percayalah, ia sebuah negara yang tidak sama dengan negara-negara lain di dunia. Keunikan Jepun melebihi apa-apa benda yang pernah wujud di bumi.

Mungkin sebab Jepun dan automotif adalah perkara yang sinonim, sukan motor jadi pendokong industri dan budaya automotif dalam masyarakat itu sendiri.

drift jepun

Banyak yang telah saya lalui sejak ke Jepun sepanjang 10 tahun lepas. Memahami sistem dan perkembangan automotif dan pengangkutan Jepun. Dari zaman kegemilangan kereta sport murah kepada versi hybrid yang mendahului jualan hari ini.

Walaupun di atas kertas kereta-kereta FR sport (Front Engine-Rear Wheel) nampak macam dah mati tapi realitinya di Jepun, masih banyak pengumpul dan penggemar sukan drift yang bercambah di setiap rantau ceruk negeri. Senang cakap, drfit ini memang budaya. Macam kita pergi memancing atau main basikal di Kodiang.

Pemergian kami ke Jepun pada tahun lepas adalah satu perjalanan yang sangat berbeza sebab berjaya juga menjejak perlumbaan jalanan dan main drift touge atau dalam bahasa sopannya, drift di kawasan bukit. Sejarah sukan drift yang bermula di Jepun itu juga memang akan dikaitkan dengan aktiviti di kawasan pergunungan

Selepas melawat Ibu Pejabat Spoon Sport di Tokyo, kami membuat keputusan untuk ikut sama dalam satu jemputan khas oleh Akihiro Hanawa, kenalan baru yang merupakan seorang pelajar di salah sebuah universiti di Ibaraki.

Akihiro Hanawa, remaja kolej yang menjadikan sukan drift sebahagian dari hidupnya
Akihiro Hanawa, remaja kolej yang menjadikan sukan drift sebahagian dari hidupnya

Lain dari kebanyakan remaja skema yang membaca buku, Hanawa sangat meminati sukan drift. Beliau mempunyai beberapa buah kereta yang dibelasah untuk aktivitinya dan kereta belasahan utamanya ialah sebuah Mazda RX-7 Efini.

Bertempat di sebuah daerah kecil di Ibaraki, aturan yang dibuat oleh kenalan awal pelajar Malaysia, saudara Zaki diterima oleh kelab drift sana. Rupa-rupanya kami telah dibawa ke satu laluan trek yang mana tempat mereka praktis main drift turun naik bukit atau lebih dikenali dengan ‘Touge’.

Perjalanan bermula dari bandar Hitachi, kami menaiki MPV Odyssey RA6 yang megambil masa kira-kira setengah jam perjalanan di tengah malam gelap-gelita. Pertama kali saya jalan di Jepun ni dengan kiri dan kanan hutan.

Tiba-tiba masuk ke simpang dan nampak jalan semakin kecil. Macam mana saya nak terangkan pun tak tahu sebab jalannya terlalu gelap.

Menurut penduduk tempatan, jalan ini memang sudah tak digunakan lagi dan cuma ada sebuah rumah di puncak bukit. Satu keluarga tua yang tiada masalah dengan aktiviti anak muda ini setiap malam minggu.

Bukit ini tak berapa tinggi tapi jalannya sempit cukup-cukup sebuah kereta lalu saja pun. Tapi keadaan jalannya bagus, rata dan tak ada mainhole macam kat Setia Alam tiba-tiba tengah pecut ada penutup mainhole setinggi setengah kaki . Baik kau letak batu bata je lah senang.

farif drift
OK yang ini bukan jepun, ni orang Malaysia. Nama dia Farid Awang dari RTWorks media.

Demi meraikan tetamu dari Malaysia yang datang dari jauh nak rasa pengalaman drift sebenar mereka berjaya membawa 10 buah kereta untuk beraksi. Sejujurnya, bila kereta mula berlepas dengan suhu persekitaran menghampiri 0 darjah, bunyi tayar dan asap yang nampak cukup mendebarkan, saya termenung macam tak percaya berada di sana seakan dalam penggambaran dalam Initial D.

“Latihan” berterusan dengan Tsuiso (kereta dilepas sepasang). Saya biasa menonton drift memanjat bukit tapi anak-anak muda ini cukup kemahirannya dengan turun bukit sekali pun dia belasah. Samada diorang ni betul-betul ada kemahiran atau memang tak takut mati. Untuk sampai ke tahap ini, kena ada cukup skill sebab memisahkan kemahiran ialah gaung!

drift jepun

Setelah lebih sejam menyaksikan aksi ini, semua peserta berehat dalam kesejukan untuk meraikan upacara sambutan hari  lahir salah seorang drifter. Lilin kek di bakar di atas susunan rim dan tayar, ia sangat budaya Jepun dan kaki kereta. Bosozoku? Boleh juga lah.

 

 

 

 

Google ads
Back to top button