Buletin

TOYOTA ALPHARD EXECUTIVE LOUNGE RASMI DILANCARKAN UNTUK PASARAN TEMPATAN, 275HP, HARGA BERMULA RM538K

UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini secara rasmi melancarkan MPV mewah Toyota Alphard Executive Lounge untuk pasaran tempatan setelah membuka tempahan pada Julai lalu.

Dari segi dimensi, Toyota Alphard ini berukuran 4,995mm (panjang), 1,850mm (lebar), 1,935mm (tinggi) dan jarak roda pada 3,000mm.

Untuk rekod, ia ditawarkan empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Precious Metal, Precious Leo-Blond dan Black.

Alphard serba baharu menampilkan reka bentuk lebih menarik, dilengkapi dengan gril tersendiri, lampu LED penuh serta terdapat lampu membelok jenis sekuential di bahagian depan dan belakang.

Di bahagian dalam, ia dilengkapi skrin panel instrumen TFT 12.3-inci, skrin paparan head-up, bumbung kaca panorama dengan pencahayaan semula jadi, tempat duduk dengan fungsi pemanas dan ventilasi.

Bukan itu sahaja, turut disertakan ialah sistem pencahayaan ambien 64 warna, lampu membaca boleh laras, penggunaan bahan jenis kulit dan woodgrain, manakala semua suis mekanikal dan kawalan butang diletakkan secara optimum untuk mudah dicapai.

Tambahan, model Alphard Executive Lounge didatangkan dengan sesuatu yang lebih istimewa iaitu fungsi urutan eksklusif pada kerusi barisan pertama.

Ciri keselamatan Toyota Safety Sense merangkumi Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert (LDA), Road Sign Assist (RSA), dan Adaptive High-beam System (AHS).

Dari segi kuasa, Alphard dikuasakan oleh enjin 2.4 liter turbo T24A-FTS, menghasilkan 275hp dan 430Nm tork. Nadi berkenaan dipadankan bersama transmisi automatik Direct Shift 8-kelajuan.

Untuk harga, Toyota Alphard 2.4T Executive Lounge kini boleh dimiliki pada harga bermula RM538,000 tanpa insurans.

Untuk mengoptimumkan kebebasan mobiliti, Alphard serba baharu ini didatangkan dengan jaminan penuh 5 tahun.

GALERI:

Google ads
Back to top button