Buletin

TOYOTA GR SUPRA, 2000cc TURBO 4 SILINDER. RM 251K SAHAJA

Toyota GR telah melebarkan sayap di UK dengan menawarkan satu varian baru iaitu Toyota GR Supra 2000cc turbo 4 silinder yang mula ditawarkan bermula Januari 2021. Berita ini sebenarnya agak mengejutkan peminat sukan permotoran memandangkan Toyota tidak bercadang untuk membawa keluar model GR Supra 2000cc ke UK disebabkan risiko model 3000cc tidak laku serta dikatakann bakal menggugat model Toyota GT 86.

Dengan harga permulaan sekitar RM 251,000 sahaja model ini bakal memberi saingan sengit kepada model Jaguar F-Type dan juga Porsche 718 Cayman. Sama seperti dengan model 3000cc (kod enjin B58), model 2000cc ini menggunakan enjin yang dibekalkan daripada BMW dengan kod unit B48 serta dipadankan dengan transmisi 8 kelajuan ZF.

Enjin ini menjana kuasa sekitar 255 kuasa kuda dari 5000-6000 RPM serta tork maksima 400NM dari 1550RPM – 4400 RPM. Walaupun hampir 100 kuasa kuda kurang, ia masih mampu memecut 0-100 dalam masa 5.2 saat dengan mode launch control manakala halaju maksimanya ditetapkan pada 250km/j. Kami yakin sekejap saja ramai tuner boleh menggodek enjin ini untuk menghasilkan lebih banyak kuasa

Disebalik kekurangan kuasa, model 2000cc ini sebenarnya 100kg lebih ringan berbanding dengan model 3000cc memudahkan jurutera menala cesi agar lebih seimbang dengan berat ideal depan belakang pada ratio 50:50. Enjin yang lebih pendek menyebabkan bahagian depan kereta Supra menjadi lebih ringan serta pengendalian yang lebih tangkas.

Penggunaan purata petrol pula ialah sekitar 16.45km/l (lebih kurang Myvi saja) walaupun ia menghasilkan 255 kuasa kuda dan pelepasan gas karbon dioksida pula ialah pada 167g/km sekaligus melayakkan model ini mencapai pelepasan asap Euro6. Pengalaman penulis dengan model 3000cc membuktikan model ini jika dipandu dari Shah Alam ke Ipoh hanya memerlukan pengisian semula RM 35 sahaja.

Secara asasnya, sistem mekanikal model ini sama seperti model 3000cc dengan sistem active rear differential, sistem penyerap hentak boleh laras (Normal/Sport) serta brek Brembo 4 piston pada bahagian depan. Namun dari segi penampilan, ia menggunakan rim aloi 18 inci yang kecil sedikit berbanding model 3000cc

Peralatan lain yang dilengkapkan termasuklah Toyota Supra Safety+ (ADAS) yang merangkumi sistem amaran pra-perlanggaran dan brek pra-perlanggaran (yang boleh mengesan pejalan kaki dan penunggang basikal), Lane Departure Alert, sistem lampu tinggi automatik serta skrin sebesar 8.8 inci.

Google ads
Back to top button