Buletin

FORD MUSTANG 2024. ENJIN 5.0 V8 DAN 2.3 ECOBOOST. PAKEJ PERFORMANCE PACK. HARGA BELUM ADA

Ford Mustang generasi baharu telah rasmi dilancar pada acara North American International Auto Show 2022 baru-baru ini.

Penggayaan Ford Mustang 2024 diinspirasikan daripada model terdahulu dengan pendekatan lebih moden. Ia dikemas kini dengan lampu LED Tri-Bar dan arca roda belakang dilebarkan untuk kelihatan lebih ranggi.

Rekaan garis bumbung model fastback itu dipanjangkan bagi memudahkan penumpang untuk keluar masuk dari kabin.

Mustang 2.3 liter EcoBoost dan Mustang 5.0 liter GT dibezakan menerusi beberapa perubahan dari segi rekaan. Versi GT memiliki gril tiga seksyen, liang kemasukan udara bawah lebih besar, hud ventilasi dan splitter depan yang direka semula.

Rim standard bersaiz 17 inci, manakala varian GT didatangkan dengan rim bersaiz 19 inci atau pilihan rim 20 inci.

Ruang kabin mempunyai perubahan yang ketara. Ia menampilkan panel skrin tunggal yang dipadankan dengan paparan skrin digital 12.4 inci serta SYNC4 13.2 inci.

Sentuhan moden yang lain termasuk stereng bahagian bawah rata, pad pengecas telefon tanpa wayar, dan set lengkap sistem keselamatan termasuk adaptive cruise, pengecaman tanda jalan dan Reverse Brake Assist.

Bahagian tempat duduk pula, model Premium mendapat jahitan warna kontras pada panel instrumen dan kemasan pintu. Sementara model GT mendapat sisipan pada tempat duduk kulit.

Enjin EcoBoost 2.3 liter dan V8 5.0 liter masih dikekalkan. Walau bagaimanapun, angka output belum didedahkan. Enjin 5.0 liter telah ditambah baik dengan ciri kotak kemasukan udara berkembar inovatif dan badan pendikit berkembar. Ini menjadikan Mustang GT model standard V8 paling berkuasa.

Bagi transmisi pula, terdapat dua pilihan iaitu transmisi automatik 10 kelajuan atau enam kelajuan manual dengan perisian rev-match.

Antara pakej lain yang ditawarkan adalah pakej Bronze Design Series dengan tambahan rim Sinister Bronze dan lencana berwarna gangsa.

Pakej Perfomance Pack pula mendapat penambahan komponen seperti strut brace depan, LSD Torsen, rotor brek Brembo (390mm depan, 355mm belakang) serta rekaan rim dan tayar yang lebar. Pakej itu juga didatangkan dengan pilihan sistem peredam adaptif MagneRide, tempat duduk Recaro dan sistem ekzos aktif.

Untuk Varian GT dengan Performance Pack, ia turut dilengkapi sistem penyejukan brek dan minyak, Active Pothole Mitigation serta electronic drift brake.

Harga jualan Ford Mustang 2024 akan diumumkan kelak.

GALERI:

Google ads
Back to top button