Buletin

TOYOTA RANCANG BINA CROSSOVER LEBIH KECIL DARIPADA C-HR

Toyota Motor Corp. dilapor mahu membina sebuah lagi model crossover yang akan diposisikan di bawah C-HR.

Crossover entry level itu dijangka diproduksi hujung tahun ini atau awal tahun depan. Ia disasarkan kepada pasaran Eropah yang semakin menggemari SUV bersaiz kecil.

Segmen itu kini dimonopoli oleh model-model seperti Renault Captur, Dacia Duster dan Peugeot 2008.

Memetik laporan Automotive News Europe, segmen SUV kompak menyaksikan pertumbuhan sebanyak 37 peratus sepanjang tahun 2018 dengan lebih 1.83 juta unit terjual. Angka itu diramal terus meningkat pada tahun-tahun mendatang.

Perkembangan itu membuatkan beberapa pengeluar bakal memperkenalkan model serba baharu dan naik taraf daripada varian sedia ada. Sebagai contoh, Skoda akan menawarkan Kamiq, manakala Ford tampil dengan model Puma baharu.

Toyota dilapor akan memasang model baharu itu di kilang Valenciennes, Perancis. Buat masa sekarang, Toyota hanya menghasilkan satu produk di sana iaitu Yaris.

Tidak banyak maklumat tentang crossover baharu ini diperolehi. Tetapi ia dijangka berkongsi banyak komponen sama dengan Yaris generasi baru.

Yaris dipercayai akan menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang sudahpun digunakan pada model-model seperti Corolla, C-HR dan Camry.

Model baharu itu juga dilengkapi pelbagai sistem keselamatan aktif dan sistem bantuan pemandu terbaharu, selain varian hibrid.

Ia akan menjadi pesaing sebenar daripada Toyota di Eropah, sekali gus merapatkan jurang di antara sedan entry-level dan crossover.

Masih tidak dapat dipastikan sama ada model tersebut eksklusif kepada pasaran Eropah sahaja atau ia akan ditawarkan sebagai model global nanti.

Tags
Google ads
Back to top button