
TOYOTA SUPRA A90 DENGAN ENJIN 2JZ – ON KE TAK ON?
Dalam kecoh-kecoh kononnya Supra baru ni kurang power berbanding Supra sebelumnya rupanya dah ada insan lain yang telah menyumbat enjin 2JZ-GTE ke dalam Supra baru ini. Bukan itu saja, pemiliknya Daigo Sato, pelumba drift D1 GP terkenal ini akan berlumba dengan menggunakan kereta tersebut pada tahun ini.
Ia sememangnya sudah dalam jangkaan dan mampu mendiamkan ramai pahlawan keyboard yang mengatakan Supra baru ini kurang menyengat. Malah dikatakan bukan sesuatu yang mustahil untuk para jurutera Toyota menghasilkan kembali enjin 2JZ yang sudah berusia hampir 30 tahun khusus untuk Supra generasi baru ini.

Kereta milik Sato ini dihasilkan di garaj milik beliau sendiri yang dinamakan Fat Five Racing yang terletak di Greater Tokyo Area. Mungkin ada antara korang yang pernah membaca artikel mengenai Lamborghini Murcielago pacuan belakang dengan spesifikasi drift? Ini juga dihasilkan di bengkel ini oleh ‘saintis-saintis gila’ di sini.
Enjin sebaris-enam 2JZ yang digunakan mempunyai sesaran 3352 cc dan mampu menghasilkan sekitar 800 bhp kuasa. Modifikasi lain termasuklah kit widebody dan pelbagai aksesori wajib bagi sebuah jentera drift. Antaranya ialah brek tangan hidraulik dan penambahan dalam sudut stereng.

Dijangkakan juga pihak HKS turut terlibat dalam projek ini kerana mereka juga telah membekalkan komponen-komponen suspensi dan peralatan lain khusus untuk projek Sato sebelum itu.
Nak tengok kereta ni secara live? Jangan bimbang kerana dalam masa kurang dua minggu lagi, jentera drift GR Supra A90 akan memulakan aksi kali pertama di D1GP All Star Shootout pada 23 Mac ini di Odaiba, Tokyo.
Berapa anggaran kosnya? Kami pun tak pasti tetapi kalau namanya jentera drift seumpama ini harganya memang potong kepala la. Tak payah ambik tahu la kot. Yang pasti ia cukup mahal dan bukan untuk projek modifikasi amatur.