Buletin

TOYOTA TUNDRA PIE PRO – BUAT PIZZA ATAS TRAK PIKAP

Jenama pizza terkenal, Pizza Hut dan Toyota baru-baru ini menjalin kerjasama untuk membina sebuah model konsep yang nyata menarik perhatian.

Dipamerkan pada acara SEMA di Las Vegas, jentera emisi sifar itu diberi nama Tundra Pie Pro. Bertindak sebagai sebuah dapur bergerak, ia dibina di atas model Tundra SR5.

Enjin trak pikap itu digantikan dengan rangkaian kuasa hidrogen yang diambil daripada model Toyota Mirai. Maka, trak pikap tersebut tidak akan mengeluarkan asap yang boleh mencemarkan pizza.

Pasukan dari Pusat Teknikal Sukan Bermotor Toyota memasang sebuah dapur pizza di ruang kargo Tundra. Terdapat sebuah peti sejuk beku untuk menyimpan pizza, oven dan dua tangan robot yang dioperasi menerusi komputer.

Apabila pesanan diterima, pizza daripada peti sejuk beku akan diambil oleh lengan robot itu dan dimasukkan ke dalam oven.

Sebaik sahaja pizza masak, ia akan dikeluarkan daripada oven, dipotong enam sebelum dimasukkan ke dalam kotak.

Seluruh proses itu dikatakan hanya mengambil masa sekitar enam hingga tujuh minit sahaja. Pelanggan boleh mengambil pizza yang dipesan dari satu rak kecil.

Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, Tundra Pie Pro masih sebuah model konsep. Belum pasti ia akan diproduksi atau sebaliknya.

Google ads
Back to top button