Buletin

HONDA BAKAL PERKENAL CBR300RR UNTUK PASARAN LUAR ASIA?

Pada tahun 2015, Honda memperkenalkan CBR250RR yang digelarnya sebagai jentera konsep supersports yang ringan pada acara Tokyo Motor Show.

Biarpun mendapat maklum balas memberangsangkan dari seluruh dunia, Honda bagaimanapun menghadkan model itu hanya untuk pasaran Indonesia, Jepun, Hong Kong dan Thailand yang menerimanya tahun lalu.

Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda pernah menayangkan jentera tersebut pada acara MotoGP di Sepang. Malangnya, apabila ditanya, hanya jawapan klise diterima.

Antaranya ialah masalah harga yang mahal, sedang dipertimbangkan dan produksi CBR250RR yang terhad.

Kini, dengan acara pameran motosikal terkenal EICMA 2019 akan membuka tirainya tidak lama lagi, khabar angin tentang kemunculan CBR300RR semakin rancak bertebaran.

Ini sekali gus menghidupkan kembali harapan dalam kalangan pengguna di Eropah untuk menerima supersports yang ditunggu ramai itu.

Sedia maklum bahawa segmen supersports sememangnya sangat sengit. Yamaha dilihat terus gigih menghasilkan model YZF-R3, Kawasaki pula dengan Ninja 400. Jadi, CBR300RR sememangnya menjadi model terbaik untuk diletakkan di bawah CBR600RR dan CBR1000RR.

Dengan nama RR, peminat boleh mengharapkan komponen ringan dan premium walaupun ia berkongsi enjin bersesaran sama dengan model CBR300R dan CB300R.

Jentera itu berkemungkinan besar menggunakan enjin parallel-twin dengan sistem penyejukan cecair bersesaran 249.7cc yang mampu menjana kuasa 38hp dan tork 23.3Nm.

Selain itu, ia juga dijangka dilengkapi ciri throttle-by-wire, tiga mode tunggangan, slipper clutch, quick shifter, fork terbalik Showa dan monoshock boleh laras pada roda belakang.

Walaupun berita kemunculan CBR300RR masih samar, namun Honda perlu sedar bahawa minat pengguna terhadap segmen supersports ringan semakin meningkat.

Sebagai contoh, MV Agusta pada Julai lalu mengumumkan pelan untuk menghasilkan motosikal berenjin 500cc ke bawah bersama Loncin Motor dari China.  

Google ads
Back to top button