
MESIN POTONG RUMPUT JADI KERETA KEBAL MINI
Sepanjang pandemik COVID-19, boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja kemahiran baharu yang dipelajari dan ditonjolkan orang ramai terutama di laman sosial.
Perkongsian mempelajari ilmu baharu seperti pertukangan, berkebun, memasak, menggubah lagu dan banyak lagi bagaikan sudah sebati sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, berbeza pula cerita pembikin perabot custom di Millersburg, Ohio, Amerika Syarikat, Jason Hibbs.
Lelaki berusia 32 tahun itu yang berasa bosan menunggu pelanggan sepanjang pandemik COVID-19 telah mengubahsuai mesin potong rumput miliknya menjadi sebuah kereta kebal mini.

“Saya mempunyai beberapa tempahan ketika virus COVID-19 menyerang seluruh dunia. Bagaimanapun, semua tempahan berkenaan terpaksa dihentikan sementara.
“Saya tidak pandai duduk diam dan satu hari semasa sedang memotong rumput, secara tiba-tiba idea untuk membikin mesin potong rumput menjadi kereta kebal,” katanya.
Tanpa mempunyai sebarang perancangan, dia mula membawa masuk mesin berkenaan ke dalam kedai untuk mengubah rupa bentuk mesin rumput berkenaan.

Papan lapis birch digunakan untuk membentuk kerangka kereta kebal berkenaan.
Selain itu, bagi memastikan ia kelihatan lebih realistik, ukiran terperinci dilakukan di bahagian atas kereta kebal tersebut.
Dia juga menggunakan paip PVC untuk membina bahagian meriam.

Hibbs turut mendapat bantuan jirannya, Justin Chambers yang mahir dalam pertukangan besi untuk membantu menghasilkan tayar berantai untuk kereta kebal itu. Menggunakan tali kargo dan trek beralun, ia kelihatan seperti tayar berantai kereta kebal.
Untuk melihat bagaimana Hibbs mengubah suai mesin potong rumput menjadi kereta kebal yang diberi nama COVID Killer, anda boleh layari YouTube Bourbon Moth Wordworking yang tular di laman sosial. -gazettetimes