
VAN JADI ‘TETAMU’ TIDAK DIUNDANG.KANAK-KANAK, IBU NYARIS MAUT
Seorang kanak-kanak yang sedang bermain di ruang tamu hampir menemui ajal apabila sebuah van terbabas merempuh masuk rumahnya berdekatan Northfield, Birmingham, Britain.
Dalam kejadian pada pukul 7.14 pagi itu, kanak-kanak tersebut dan ibunya mengalami cedera ringan.
Menurut jurucakap perkhidmatan ambulan West Midlands, ketika tiba di lokasi kejadian terdapat sebuah van berwarna perak berada dalam rumah berkenaan.
“Pemandu van yang merupakan seorang wanita berjaya menyelamatkan diri dengan menggunakan pintu belakang van.
“Kecederaan wanita itu tidak serius. Dia telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk menerima rawatan lanjut.
“Seorang kanak-kanak bersama ibunya yang berada di dalam rumah ketika kemalangan dirawat di tempat kejadian kerana cedera ringan,” katanya.
Sementara itu, pihak polis West Midlands, memberitahu kejadian masih dalam siasatan.
“Pemandu van tersebut akan memberi keterangan berhubung kejadian ini. Jalan akan ditutup selama beberapa jam akibat kemalangan kerana mengesyaki terdapat kebocoran gas,” katanya. – agensi.