Artikel Pilihan

KERETA-KERETA TERHEBAT TAHUN 90 AN – SAMPAI SEKARANG TAK MAMPU BELI

Tahun 90 an dikatakan meninggalkan banyak kenangan. Lagu-lagu yang sedap di dengar. Puak-puak raver dan founder kosmetik timbang kati belum lahir lagi. Guru-guru dihormati masyarakat dan semestinya kereta-kereta hebat muncul bagi memberi inspirasi kepada golongan muda untuk memilikinya satu hari nanti. Sayangnya impian tinggal impian tapi apa salahnya kita kenang kembali kereta-kereta hebat yang pernah muncul pada tahun 90 an.

Porsche 911 Carrera RS

Nampak macam model 964 standard tapi Carrera RS tahun 90 an ini jauh lebih ringan dan berkuasa berbanding model standard. Tidak banyak unit dihasilkan dan kini ia menjadi buruan pengumpul di seluruh dunia.

Bugatti EB110

Lama sebelum munculnya Bugatti Veyron peminat dunia automotif sudah disajikan dengan sebuah supercar dengan rupa paras yang unik bernama EB110. Bukan Ebby Yus okey. Dikuasakan enjin 12 selinder dengan empat pengecas turbo ia kini menjadi buruan peminat Bugatti (yang berkemampuan tentunya).

Ferrari F50

Siapa tak kenal Ferrari F50 memang tak layak bergelar kaki kereta. Walaupun dikatakan sedikit ‘kureng’ berbanding F40 yang sudah mencapai status lagenda ia masih sebuah supercar yang cantik lagi eksotik. Bayangkan sebuah jentera F1 untuk jalan raya dengan runut bunyi V12 NA yang dipadankan dengan transmisi manual. Bukan setakat laju, bumbung pun boleh bukak oo.

Mercedes-Benz CLK GTR

Ia merupakan model homologasi jentera lumba Le Mans tahun 90 an. Jauh berbeza rupa parasnya berbanding CLK biasa dengan enjin 6.0 liter V12 dan kotak gear sequential.

Ford Escort RS Cosworth

Ia juga merupakan model homologasi istimewa bagi membolehkan Ford menyertai perlumbaan rali Group A. Dikuasakan enjin sebaris empat berkuasa turbo dari Cosworth ia semestinya mudah dikenali dengan rekaan sayap belakang yang ikonik.

Ferrari 550 Maranello

Ferrari dengan enjin V12 di hadapan terakhir pernah dikeluarkan. Bila dipadankan dengan kotak gear manual bunyi yang terhasil memang akan membuatkan anda mabuk kepayang siang malam.

BMW 850CSi

Tak ada kena mengena dengan siri TV CSI tapi ini antara BMW paling sport dan paling rare. Dikuasakan dengan enjin V12 dan hanya boleh didapati dengan kotak gear manual. Barulah anak jantan.

Jaguar XJ220

Dikatakan model Jaguar paling cool pernah dihasilkan. Bayangkan rekaan badan supercar, enjin berkuasa turbo dan lampu pop-up. Ciri sebenar model klasik tahun 90 an.

Porsche 911 GT2

GT2 pertama dihasilkan dalam jumlah yang cukup terhad menjadikan harganya menjadi semakin melampaui akal yang munasabah. USD2.4 juta untuk sebuah 911 berusia 20 tahun!

Lamborghini Diablo

Pengganti Countach yang cukup bergaya dan menjadi poster pilihan kanak-kanak macam kami satu ketika dahulu. Definisi sebenar supercar eksotik dengan bukaan pintu swing-up.

Dodge Viper

Asalnya cuma sebuah model konsep sebelum akhirnya diproduksikan. Enjinnya? Hmm, V10 8.0 liter yang mampu membuatkan pemilik menggaru kepala masa nak bayar cukai jalan. Kalau kat Malaysia la.

Ferrari F355

Ferrari paling simple, paling kecil dan paling stailo ketika itu. Bunyi enjin V8 3.5 liternya sedap betul masa tu. Kereta hujung minggu orang-orang kaya sekitar Petaling Jaya satu ketika dahulu.

Mitsubishi Lancer Evolution Tommi Makinen Edition

Nama paling panjang dan paling cool dalam senarai. Dinamakan sempena pelumba rali lejen dari Finland yang menguasai kejuaraan WRC sebanyak 4 kali dengan menggunakan jentera keluaran Mitsubishi.

Mazda RX-7

RX-7 generasi ketiga atau pun FD memang merupakan sebuah kereta sport yang sempurna. Dikuasakan enjin rotary dengan turbo berkembar ia masih merupakan model Mazda paling diminati sehingga sekarang.

Subaru Impreza 22B

22B merupakan tawaran terhebat Subaru ketika itu. Dilengkapi kit widebody, brek bersaiz mega, rim berwarna emas dan enjin 275 hp. Inilah jentera rali yang halal untuk jalan raya.

Honda NSX

Pilihan kami tetap Honda NSX generasi pertama. Eksotik, ringan, berkuasa dan mudah diselenggara berbanding supercar dari Itali. Cuma jangan ingat ia murah pada tahun 90 an. Mahal weh.

Toyota Supra

Sekarang dah ada Supra baharu tapi aura Supra 90 an masih sangat kuat. Dikuasakan enjin lagenda 2JZ yang sangat tahan lasak. Supra ini juga dikatakan salah sebuah kereta terbaik pernah dhasilkan di Jepun.

Nissan Skyline GT-R R32

Godzilla asal yang menggegarkan dunia dengan menguyah hidup-hidup semua model lain dalam perlumbaan yang disertai. Raksasa betul la kereta ni.

McLaren F1

Inilah kereta terhebat pernah dihasilkan dalam tahun 90 an. Sampai sekarang masih kekal hebat dengan enjin V12 keluaran BMW dan kedudukan pemandu ditengah-tengah kereta ala F1. Macam mana kaya pun korang kalau tak ada McLaren F1 dalam garaj pergi main jauh-jauh.

Dan akhir sekali… Malu pulak nak tulis eh…

Mazda MX-5 Miata

Mana lengkap senarai kereta terhebat tahun 90-an tanpa Miata. Ianya murah, cantik, senang nak bela dan paling penting sekali seronok dipandu. Nak pulak kalau buka bumbung. Pehhh.

Kredit www.roadandtrack.com

Google ads
Back to top button