Buletin

PROTON SAGA 2019 – 5 PERKARA YANG KAMI SUKA PADA SEDAN INI

Pada 6 Ogos lalu PROTON telah berjaya melancarkan sedan kegemaran ramai, Proton Saga 2019. Banyak perubahan yang dilakukan pada sedan ini dan ia menerima sambutan positif dengan 10,000 tempahan dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Pengenalan model facelift ini tepat pada masanya dalam memasuki usia ketiga selepas dilancarkan pada 28 September 2016. Perubahan yang dilancarkan juga bermakna Saga akan kekal di dalam pasaran untuk beberapa tahun lagi.

Apa yang membuatkan Saga 2019 begitu popular? Pada kami, sedan ini sememangnya mempunyai reputasi yang kuat di kalangan rakyat Malaysia sebagai kereta tempatan pertama.

PROTON berjaya menggilap kembali potensi yang ada dan memberikan nilai untuk wang dalam meletakkan Saga sebagai sedan kebanggaan rakyat Malaysia seperti generasi pertama.

Berikut ialah lima perkara yang kami suka tentang Proton Saga 2019:

1. Harga mampu milik, dari RM32,800 hingga RM39,800

Harga varian Saga paling rendah ialah RM32,800 untuk MT Standard dan anggaran bayaran bulanan bagi tempoh sembilan tahun sekitar RM360. Kadar bayaran tersebut lebih kurang RM12 sehari.

Jika mahukan pemanduan tanpa klac, Saga Standard AT berharga RM35,800 dengan bayaran bulanan sekitar RM400 atau RM13 sehari. Model paling lengkap ialah Saga Premium AT yang berharga RM39,800 atau sekitar RM437 sebulan dengan RM14 sehari.

Julat ansuran di antara RM360 hingga RM437 dilihat sangat berbaloi kerana ini sebuah sedan sempurna dan selesa sama ada untuk kegunaan keluarga atau berulang alik ke tempat kerja.

Dalam memilih kereta tidak dinafikan ramai yang menggemari hatchback dek kerana saiz kompak dan mudah dalam pemanduan harian. Namun sebagai kereta pertama terutama sekali buat yang bakal atau baru berumah tangga, sedan sebenarnya lebih menepati gaya hidup anda.

2. Reka bentuk menarik

Dari luaran, Saga 2019 tidak banyak berubah berbanding versi sebelumnya. PROTON hanya mengubah gril, corak roda, bampar depan dan belakang namun berjaya mengubah keseluruhan imej.

Perubahan tersebut berjaya mengurangkan imej kereta ekonomi dan kini Saga nampak lebih bergaya, moden dan berjiwa muda. Kami sukakan roda aloi 15 inci pada Saga Premium AT dengan corak ala bunga cengkih.

Bahagian depan dengan gril infinite weave dan garisan krom menaikkan seri premium manakala sirip atau corak insang pada bampar belakang memberikan imej sporti.

3. Bahagian dalaman dengan skrin terapung

Model facelift jarang tampil dengan perubahan besar pada papan pemuka. PROTON mengambil langkah berbeza dengan merombak semula papan pemuka bagi memasang skrin terapung seterusnya mengubah kedudukan corong penyaman udara.

Skrin terapung adalah trend terkini pada model premium dan global. Kami percaya ciri ini akan menambah daya tarikan Saga 2019 apabila dijual di luar negara kelak. Untuk varian Premium AT terdapat fungsi sambungan tanpa wayar Bluetooth dan telefon pintar untuk operasi Android.

Selain skrin baharu, Saga 2019 turut menggantikan panel meter baharu ala Proton Iriz dan Persona. Meter baharu ini walaupun ringkas tetapi nampak kemas dan moden melalui jenis tulisan baharu dan susun atur serta paparan digital pada bahagian tengah.

4. Kotak gear automatik empat kelajuan dan brek baharu

Sekali lagi PROTON mengambil langkah yang jarang dibuat untuk model facelift. Saga 2019 kini menggunakan kotak gear automatik empat kelajuan yang dibekalkan oleh Hyundai.

Keputusan ini dibuat selepas PROTON menerima maklum balas daripada pengguna tambahan pula model pesaing masih kekal dengan kotak gear automatik empat kelajuan. Kotak gear baharu ini turut dilengkapi mod Sport untuk pemanduan lebih sporti atau memotong kenderaan lain.

Selain kotak gear, PROTON telah menggantikan komponen brek kepada set lebih besar dan diambil daripada Iriz dan Persona. Set brek baharu ini mempunyai daya hentian lebih baik.

5. Sistem ABS, EBD dan BA untuk kesemua varian

Satu tindakan yang harus dipuji apabila Saga 2019 dilengkapi dengan brek anti kekunci (ABS), daya agihan brek elektronik (EBD) dan bantuan brek (BA) sebagai ciri standard untuk kesemua varian.

Ini bermakna kesemua ciri tersebut boleh didapati pada varian Standard MT dengan harga paling rendah dan Standard AT pada harga pertengahan. Pakej ini dapat memberikan kawalan lebih baik sewaktu kecemasan dan nilai untuk wang bagi sebuah sedan pada harga di bawah RM36,000.

Saga AT Premium pula didatangkan ekstra dengan kawalan kestabilan elektronik (ESC) dan hill hold assist (HHA). Sistem ESC memberikan pengendalian lebih baik dalam mendapatkan ekstra cengkaman manakala HHA pula membantu kereta tidak mengundur selepas berhenti di jalan bercuram.

Untuk beg udara, Saga 2019 kekal dengan dua unit masing-masing pada bahagian pemandu dan penumpang depan.

Kesimpulan

PROTON benar-benar berusaha keras bagi memastikan Saga 2019 tampil relevan dan sedan dengan nilai terbaik untuk pelanggan. Banyak perubahan yang dilihat pada fizikal dan sebenarnya turut merangkumi bahagian di luar mata kasar seperti talaan suspensi dan sebagainya.

Kami sukakan Saga 2019 kerana ia membawa falsafah mampu milik mengikut peredaran semasa. Ia masih lagi sedan ekonomi namun dilengkapi ciri-ciri lebih tinggi daripada segmennya.

Lebih mengujakan apabila PROTON berjaya menampilkan Saga 2019 pada harga yang lebih rendah berbanding Saga 2016. Iya, anda membayar harga yang lebih rendah untuk spesifikasi lebih baik. Penjimatan dan nilai yang diperolehi ialah di antara RM2,000 hingga RM3,700.

Kami berpendapat, Saga 2019 terutama sekali varian Premium AT berjaya mengembalikan rasa puas dalam memilikinya sama seperti Saga generasi pertama dahulu. Anda wajar memandu uji dan mempertimbangkannya jika sedang meninjau sebuah sedan mampu milik.

Proton Saga adalah kebanggaan kita rakyat Malaysia dan kami gembira apabila Saga kini satu aras lebih tinggi.

BACA: PROTON X50 – 5 PERKARA YANG KAMI TAHU SETAKAT INI

BACA: PANDU UJI PROTON IRIZ, PERSONA VERSI SPORTI

BACA: GEELY DAN PROTON, CABARAN YANG MULA MEMBUAHKAN HASIL

Tags
Google ads
Back to top button