Buletin

WRC 2020 – OTT TÄNAK JUARA DI BUMI SENDIRI

Setelah sekian lamanya persaingan World Rally Championship (WRC) 2020 terhenti selama enam bulan akibat pandemik Covid-19, akhirnya perlumbaan disambung semula pada hujung minggu yang lalu dengan menyaksikan pelumba handalan, Ott Tanak berjaya memenangi perlumbaan yang turut berlangsung di halaman sendiri, Estonia.

Kemenenangan ini sudah tentu cukup manis buat Ott Tanak apatah lagi ini merupakan perlumbaan rasmi WRC buat pertama kalinya yang dilangsung di Estonia dan juga merupakan kemenangan sulung buat beliau bersama jentera Hyundai i20 WRC setelah berpindah pasukan. Tampil sebagai peserta kegemaran, sudah tentu beliau tidak menghadapi tekanan untuk memberikan yang terbaik. Tapi ternyata beliau cukup handal apabila mendahului seawal Shakedown lagi.

Dan kemanisan berganda ganda buat pasukan Hyundai Shell Mobis ini apabila seorang lagi pemandu mereka, Craig Breen berjaya menamatkan saingan di tempat kedua dengan ketinggalan 22.2 saat di belakang Sang Juara. Ternyata keputusan pasukan Hyundai untuk menggunakan khidmat pelumba dari Ireland ini berbanding Sebastian Loeb dilihat cukup berbaloi.

Cumanya malang menimpa buat seorang lagi pemandu handalan, Thierry Neuville akur dengan masalah pada sistem ampaian setelah melanggar batu pada selekoh hingga menyebabkan tayar belakang terkepak. Ajaib juga beliau berjaya sampai ke garisan penamat walaupun hanya dengan tiga roda sahaja. Dan perkara itu membuatkan Thierry Neuville akur untuk menamatkan saingan begitu sahaja memandangkan kerosakan yang dihadapi agak teruk juga.

Manakala pasukan Toyota Gazoo Racing pula hanya berjaya menamatkan di tempat ketiga dan keempat yang mana menjadi milik Sebastian Ogier dan juga Elfyn Evans. Walau pun begitu, Prinsipal Pasukan Tommi Makinen tidak gusar kerana beliau telah pun menetapkan sasaran agar Sebastian Ogier tidak terlalu mendesak jentera untuk muncul juara, memadai beliau mengutip mata penting. Dan misi tercapai.

Menariknya juga pasukan Toyota sekali lagi menampilkan pemandu muda dari Jepun, Takamoto Katsuta untuk memandu jentera keempat Yaris WRC sebagai pendedahan. Malang menimpa beliau apabila tidak berupaya menamatkan saingan apabila Yaris WRC beliau terbabas dan berpusing sewaktu mengambil selekoh dan menyebabkan kerosakan teruk pada jentera.

Selepas ini, pasukan yang bertanding bakal berkumpul pula di Turki pada 18 – 20 September untuk menyambung perlumbaan kelima dalam kalendar WRC musim 2020 ini.

Kedudukan Pemandu

  1. Sebastian Ogier – 79 Mata
  2. Elfyn Evans – 70 Mata
  3. Ott Tanak – 66 Mata

Kedudukan Pasukan

  1. Toyota Gazoo Racing – 137 Mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 132 Mata
  3. M-Sport Ford – 83 Mata

BACA : WRC 2020 – JADUAL PERLUMBAAN BAHARU

BACA : WRC 2020 – ELFYN EVANS MELOMPAT LEBIH TINGGI DI SWEDEN

Google ads
Back to top button