
HONDA NAVI DAH SIAP UBAH SUAI, CUN JUGA!
Pasaran motosikal mini berada di dalam segmen niche dan mempunyai peminat tersendiri. Beberapa tahun dahulu, pengguna tempatan dihidangkan dengan Kawasaki KSR, Honda MSX (Grom) dan Benelli TNT.
Pada 17 November lalu Honda memperkenalkan Navi, model terbaru dalam segmen motosikal mini di Amerika Syarikat.
Honda tidak tunggu lama untuk terus memikat pengguna di sana dengan mempertontonkan dua buah Navi yang siap diubahsuai dalam tempoh tiga hari selepas pengenalannya.
Dua model itu dipertontonkan semasa acara tunggang uji media di Muzium Westside di California.
Projek itu dibuat oleh dua syarikat pengubahsuaian dan pembekal aksesori motosikal mini MNNTHBX dan Steady Garage.
Seperkara yang menarik tentang Navi ialah harganya yang berpatutan di Amerika Syarikat iaitu $1,807 (RM7,558).
Selain itu, Navi bukan motosikal bergear manual seperti Grom, ianya bernadikan enjin skuter Honda Activa 109cc yang dipasarkan di India.
Navi MNNTHBX
MNNTHBX diasaskan oleh Kevin Estep dan Greg Hatcher dengan bengkel di Seymour, Tennessee. Idea mereka untuk Navi ialah jadikannya sebagai motosikal pit di litar lumba.
Memang praktikal pun digunakan di pit, hanya pulas pendikit dan tiada klac yang perlu ditarik.
Tema penampilan yang digunakan ialah tiga warna Honda (tricolor) iaitu merah, putih dan biru.
Penyerap hentak asal tunggal diganti dengan penyerap hentak Öhlins yang dipasang menggunakan cagak aluminium.
Lagi komponen premium ialah ekzos gentian karbon Yoshimura manakala hendal dan clamp dari Renthal dengan kedudukan rendah ala motocross.
Navi didatangkan dengan roda 12 inci di depan dan 10 inci di belakang dan MNNTHBX memadankan tayar belakang saiz besar supaya nampak lebih seimbang dan ala road-race.
Walaupun Navi ini menggunakan konsep motosikal pit, MNNTHBX memasang set audio dengan dua pembesar suara saiz 6.5 inci dari Kicker.
Boleh juga jadi sistem audio bergerak.
Pembesar suara itu dipasang di bahagian depan dan bawah motosikal yang biasa menempatkan blok enjin.
Navi menggunakan enjin skuter jadi ada ruang kosong di situ yang asalnya dipasang kotak simpanan barang oleh Honda.
Set sistem audio Navi juga terdiri daripada amp dan pengawal yang dipasang pada panel depan motosikal.
Navi STEADY GARAGE
Bertempat di Irwindale, California, bengkel yang diasaskan oleh Kevin Dunn, Jimmy Chen, Bhwe Suh dan Duy Nguyenini telah mengubahsuai empat buah motosikal projek dari Honda sendiri.
Idea untuk projek custom Navi ini diambil dari model Ruckus dan Grom dengan beberapa ubah suai dari komponen sedia ada dua model tersebut.
Konsep yang digunakan ialah sama seperti street Grom dengan kedudukan rendah dan roda depan yang lebar.
Roda belakang digantikan dengan saiz dan diameter lebih lebar dan besar yang dipadan bersama tayar profail rendah.
Ekzos asal diganti dengan jenama Vance & Hines dan paip stainless-steel mengeluarkan asap melalui dua lubang berkembar.
Penyerap hentak pula dibuat custom oleh Gears Racing dari Taiwan. Lagi pengubsuaian ialah tempat duduk dengan kombinasi gentian karbon dan kotak simpanan barang dikecilkan supaya nampak lebih langsing.
Ditawarkan kepada pemilik Navi
Kedua-dua MNNTHBX dan Steady Garage akan menawarkan beberapa komponen dalam projek Navi kepada pemilik yang berminat dan Vance & Hines juga telah membangunkan sistem ekzos motosikal ini.
Kepada yang mahukan aksesori rasmi, Honda Signature Accessories menawarkan kit grafik pelbagai warna yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Icon dan grafik Viper Urban Camo oleh syarikat TrueTimber.

BACA: KERETA LUMBA CIVIC Si HONDA RESEARCH WEST, PEKERJA HONDA SENDIRI YANG BUAT!
BACA: NAK BELI ENJIN K20C1 CIVIC TYPE R? ADA DI AS, DARI RM28K SAHAJA!
BACA: KENALI C30A. ENJIN LAGENDA HONDA NSX!