Buletin

WRC 2022 – KALLE R0VANPERA SEKALI LAGI MELAKUKANNYA DI ESTONIA. INILAH DIA CALON JUARA WRC!

Pemandu muda pasukan Toyota Gazoo Racing, Kalle Rovanpera sekali lagi menjuarai Rally Estonia berturut – turut dengan cukup bergaya sekali gus berjaya memenangi lima perlumbaan WRC musim ini.

Jikalau setahun lalu Kalle Rovanpera berjaya memecahkan rekod untuk menjadi pemandu termuda memenangi perlumbaan WRC di Rally Estonia, kini beliau sekali lagi mengulangi pencapaian yang serupa. Malah, kini Kalle Rovanpera sedang memburu kejuaraan World Rally Championship (WRC) paling muda dalam sejarah sepanjang 50 tahun ini.

Kalle Rovanpera berjaya mengatasi saingan terdekat yang juga rakan sepasukan Elfyn Evans dengan kelebihan 1 minit 0.09 saat. Dengan kejayaan ini beliau telah menjarakkan pungutan mata kepada 83 mata daripada tujuh perlumbaan berbanding 13 perlumbaan untuk kalendar WRC musim ini.

Elfyn Evans asalnya mendahului saingan sebelum Kalle Rovanpera merampas tahta dan terus mengekalkan saingan setelah beliau membuat penalaan semula terhadap jentera GR Yaris Rally1. Disebalik hujan yang turut hingga mengakibatkan kondisi laluan yang licin namun itu bukanlah alasan buat Kalle Rovanpera untuk memperlahankan jenteranya.

Malah beliau terus memecut laju ketika saingan terakhir Wolf Power Stage bagi memastikan pungutan mata maksimum berhasil. Yang pasti kejayaan podium 1-2 ini berjaya mengekalkan jarak pungutan mata buat pasukan Toyota Gazoo Racing bagi kategori Pengeluar.

Sementara itu, jaguh dan harapan pemandu tuan rumah, Ott Tanak pula berjaya menduduki podium ketiga setelah ketinggalan agak jauh juga dibelakang Elfyn Evans, 54.8 saat. Beliau sebetulanya menghadapi masalah dengan pengendalian jentera Hyundai i20 N Rally1 namun keputusan tempat ketiga keseluruhan ini sudah dilihat cukup baginya.

Dan rakan sepasukan beliau Thierry Neuville pula berada di keempat keseluruhan dengan ketinggalan agak jauh beza masa. Juga dengan isu yang sama terhadap masalah pengendalian jentera. Tempat kelima dan keenam menjadi milik Takamoto Katsuta dan Esapekka Lappi bagi meneruskan hari dan perlumbaan yang gemilang buat pasukan Toyota Gazoo Racing.

Cuma malang menimpa buat pasukan M-Sport Ford apabila hanya Adrian Fourmaux berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh keseluruhan, suatu keputusan yang cukup melegakan sementalah beliau gagal menamatkan saingan dalam empat perlumbaan sebelum ini.

Manakala Pierre-Louis Loubet dan Gus Greensmith gagal menamatkan saingan. Perlumbaan WRC berikutnya bakal berlangsung di Finland pada bulan hadapan.

Kedudukan Mata Pemandu

  1. Kalle Rovenpera – 175 mata
  2. Thierry Neuville – 92 mata
  3. Elfyn Evans – 79 mata

Kedudukan Mata Pengeluar

  1. Toyota Gazoo Racing – 298 mata
  2. Hyundai Shell Mobis – 211 mata
  3. M-Sport Ford WRT – 157 mata

BACA : WRC 2022 – KALLE ROVANPERA MUNCUL JUARA SAFARI RALLY KENYA YANG PENUH DENGAN DRAMA

BACA : WRC 2022 – OTT TANAK AKHIRNYA MENANG JUGA DI ITALI

Google ads

B K

Back to top button