Motosikal

HONDA DAN MUJI HASILKAN BASIKAL ELEKTRIK MINIMALIS MSO1. HANYA DI CHINA, BERMULA RM3,280

Honda baru-baru ini telah menjalin kerjasama dengan jenama peruncitan gergasi dari Jepun, Muji untuk menghasilkan sebuah e-basikal yang diberi nama MS01. 

Rekaan basikal elektrik yang minimalis itu nyata sinonim dengan bahasa reka bentuk diterapkan oleh Muji dalam setiap produk jualannya. Muji yang turut mempunyai cawangan di Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai barangan rumah dan pakaian. 

Pengarah kreatif Muji, Kenya Hara merupakan individu penting dalam mereka bentuk MS01. Rekaan itu dilihat tidak jauh berbeza dengan beberapa motosikal elektrik Honda terkini seperti Benly:e, Gyro:e dan Gyro Canopy:e.

Hara mengambil inspirasi daripada basikal H-Type Muji, manakala Honda bertanggungjawab membangunkan motor dan tungangan basikal terbabit. Hasilnya, MS01 hanya boleh dinaiki seorang sahaja, selain menggunakan motor elektrik berkapasiti 400w dan bateri 48V. 

Bateri tersebut boleh dikeluarkan dengan mudah untuk dicaj. Jentera itu mampu memecut pada kelajuan maksimum 25km/j dan sekali caj membolehkannya bergerak sejauh 64km. Ia dilihat cukup untuk kegunaan mereka yang mahu pergi ke pejabat, sekolah atau membeli-belah dalam jarak yang dekat. 

MS01 didatangkan dlam warna putih dan hitam. Setakat ini, ia hanya dijual di China pada harga bermula RMB4,980 (RM3,280) seunit.

Google ads
Back to top button