Artikel PilihanMotosikal

“YAMAHA Y15ZR AKAN BANGKIT DI TANGKAK” – AFIF, JUARA CUBPRIX 2018

Ahmad Afif Amran yakin barisan pelumba Yamaha akan bangkit untuk menyekat penguasaan jentera Honda pada Pusingan 3 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Tangkak, Johor pada 3 dan 4 Mei ini.

Perlumbaan pusingan pembukaan menyaksikan ketiga-tiga podium menjadi milik jentera Honda melalui Azroy Hakeem Anuar (Idemitsu Honda Yuzy Racing), Md Helmi Azman  (Hi Rev SCK Honda Racing) dan Md Zaqhwan Zaidi (Idemitsu Honda Yuzy Racing) sambil Afif (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) menamatkan saingan ditempat keempat.

Azroy sekali lagi menguasai perlumbaan kelas perdana apabila menjuarai perlumbaan pusingan kedua di Batu Kawan namun Afif kali ini menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua sambil Ahmad Fazrul Sham (AHM Motorsports Yamaha Racing) di kedudukan ketiga.

“Kami menunjukkan peningkatan sewaktu pusingan kedua namun masih sedikit ketinggalan berbanding jentera Honda terutama dari segi ‘top speed’.

“Kalau melihat kepada bentuk litar di Tangkak minggu ini, saya rasakan kekuatan antara jentera Yamaha dan Honda agak seimbang kerana laluannya berbukit dan agak teknikal. Saya perlu menggunakan kelebihan yang ada pada jentera Y15ZR ini untuk menguasai perlumbaan,” jelas Afif yang muncul naib juara di belakang Kasma Daniel Kasmayudin di Tangkak pada musim lepas.

Mengulas tentang prestasi speanjang dua pusingan lepas, pelumba berusia 24 tahun itu berkata, “Saingan masih di awal musim, jadi masih banyak peningkatan yang boleh dilakukan. Saya tidak terlalu memikirkan tentang kemenangan sebaliknya mencari pendekatan untuk terus meningkatkan prestasi individu dan jentera dari satu pusingan ke pusingan perlumbaan yang lain.”

Tags
Google ads
Back to top button