Artikel PilihanMotosikal

4 REGULASI BARU BANTU HONDA RS150R MENANG CUBPRIX 2019

Pusingan pertama perlumbaan Petronas cubprix yang berakhir hujung minggu lepas di Jasin, Melaka mencatatkan keputusan mengejutkan. Pasukan Honda menerusi jentera RS150R menyapu bersih PODIUM kemenangan bagi kategori premier CP150.

Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing menghabiskan perlumbaan dengan catatan 16:02.227 diikuti Md Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing dengan masa 16:02.939 dan Md Zaqhwan Zaidi Idemitsu Honda Yuzy Racing.

Setelah dua tahun menguasai kelas CP150 ini, pasukan Yamaha menerusi jentera Y15ZR kelihatan tidak mampu mengekalkan rentak perlumbaan. Dan muncul persoalan di kalangan peminat tempatan.

Kenapa power sangat Honda tahun ni?

Sebenarnya sebelum perlumbaan kami sudah terdengar tentang regulasi baru yang akan diterapkan pada musim 2019.

Ia khusus sebagai tambahan dan rombakan kepada peraturan sedia ada dan ia adalah perkara biasa bagi satu-satu kategori baru yang mana penganjur perlu melihat kepada keadaan semasa, khususnya dari sudut keselamatan, kos dan juga aspek persaingan.

Apakah regulasi baru tersebut?

Kami menghubungi pihak penganjur dan mereka menyenaraikan EMPAT poin utama dalam pindaan baru CP150 2019.

1.REGULASI BARU SISTEM EKZOS. Sistem ekzos baru ini meliputan dimensi baru untuk penyenyap (muffler)

2. BELLY PAN – penghadang di bahagian bawah enjin atau disebut juga sebagai lower cover. Dalam perlumbaan sebenar, belly pan ini berfungsi sebagai penghadang kebocoran sekiranya berlaku situasi seperti bahagian bahaw enjin pecah. Ia akan memastikan litar tidak dibasahi dengan minyak pelincir. Ia juga sebagai pelindung bahagian sisi perumah enjin.

3. THROTTLE BODY BERSAIZ STANDARD – Mulai musim 2019 juga, motosikal tidak lagi dibenarkan menggunakan oversize throttle body. Semua motosikal mesti menggunakan throttle body standard.

Untuk rekod. Saiz throttle body asal Yamaha Y15ZR ialah 28mm dan Honda RS150R ialah 30mm.

4. MAGNET – Regulasi baru ini juga menetapkan had pengubahsuaian pada bahagian magnet coil. Pengurangan berat yang dibenarkan hanya dihadkan pada 50 peratus dari peralatan asal. Sebagai contoh, jika berat asal magnet tersebut ialah 1k, had “lightened” yang dibenarkan setakat 500gram sahaja.

Apapun, dengan regulasi baru ini, sudah pasti persaingan perlumbaan kelas premier ini kelihatan semakin menarik. Ia menjanjikan persaingan yang lebih kompetitif di kalangan pasukan yang bertanding.

Penganjur juga memberitahu bahawa peraturan ini akan disemak semula selepas tiga pusingan perlumbaan cubprix tahun ini dan akan terus dikemaskan dari masa ke semasa.

Google ads
Back to top button