100,000 PEKERJA DAIMLER, MERCEDES-BENZ DAPAT BONUS RM28,000 DI JERMAN
Daimler dan Mercedes-Benz memberi bonus lumayan sebanyak €6,000 (RM28,631) kepada kira-kira 100,000 pekerja di Jerman.
Lembaga Pengurusan dan Majlis Kerja Am pengeluar kenderaan itu akan membayar bonus terbabit kepada para pekerja yang layak.
Ia diberikan sebagai tanda terima kasih di atas kerja keras mereka selama setahun terjejas berikutan pandemik Covid-19 dan kekurangan bekalan semikonduktor.
Daimler masih belum mengumumkan keputusan kewangan bagi tahun tersebut tetapi memaklumkan ia telah mengecapi “kejayaan” yang kukuh sepanjang tahun kewangan 2021.
“Pembangunan luar biasa syarikat merupakan pencapaian sebuah pasukan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada semua yang terlibat menyumbang kepada kejayaan ini.
“Tahun lalu bukan sesuatu yang mudah untuk diharungi tetapi kita berupaya membayar pekerja dengan rekod bonus keuntungan bersama,” kata salah seorang Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Mercedes-Benz AG, Sabine Kohleisen.
Pada kebiasaannya, Daimler akan memberi bonus kepada para pekerja di Jerman tetapi tidak pernah sebanyak tahun ini.
Sebagai perbandingan, pengeluar kenderaan itu mengagihkan bonus keuntungan Bersama sebanyak €597 (RM2,848) pada awal tahun 2020 dan bonus penghargaan bernilai €500 (RM2,385). – carscoops