
KERETA ELEKTIK PERTAMA HONDA E BAKAL DIPRODUKSI HUJUNG TAHUN INI
Honda mengesahkan bahawa kereta elektrik pertama yang dibangunkannya untuk pasaran Eropah akan dikenali sebagai E.
Baru-baru ini, pengeluar kenderaan dari Jepun itu mendedahkan sedikit lagi informasi mengenai E. Antaranya ialah jentera itu mampu mencatat jarak lebih 200km dengan sekali caj.

Tempoh mengecaj pula lebih pendek, hanya 30 minit untuk kapasiti bateri sehingga 80 peratus. Sebuah motor elektrik digunakan untuk menggerakkan roda belakang
Honda E dibina di atas platform EV khas yang mempunyai tapak roda panjang dan trek lebih lebar. Sekali gus mampu menawarkan ruang luas kepada penumpang.
Honda sebelum ini pernah mempamerkan model E-Prototype pada acara Geneva Motor Show 2019, Mac lalu.

Kereta bandar dengan reka bentuk hatchback lima pintu itu hadir bersama cermin tingkap tanpa bingkai serta sistem empat kamera yang menggantikan cermin sisi konvensional.
Foto-foto risikan menunjukkan bahawa kedua-dua ciri itu akan kekal untuk versi produksi akhir.
Bahagian dalam pula dilengkapi tempat duduk fabrik, papan pemuka ringkas dengan kemasan kayu dan paparan digital yang besar.

Honda dijadual memulakan produksi E menjelang akhir tahun ini.
Honda juga dilapor komited untuk menambah sistem elektrifikasi ke dalam setiap kenderaan yang dijualnya menjelang tahun 2025.
Model seterusnya yang bakal menerima elektrifikasi itu ialah Jazz/Fit buatan tahun 2020 yang didakwa akan membuat penampilan sulung pada Tokyo Motor Show 2019.