Buletin

3 VARIAN AUDI A4 KINI DILENGKAPI CIRI TECH PACK – BERMULA RM224,900

Audi Malaysia baru-baru ini memperkenalkan barisan kelengkapan terbaharu yang dikenali sebagai Tech pack untuk sedan Audi A4 .

Tech pack dipasang pada varian Audi A4 1.4 TFSI, Audi A4 2.0 TFSI quattro dan Audi A4 2.0 TFSI S line. Ini menjadikan empat varian A4 dilengkapi dengan rangkaian teknologi seperti ketersambungan telefon, lampu pintar Matrix LED yang futuristik (untuk varian 2.0 TFSI) dan sistem bunyi B&O 3D tersebut. 

“Tawaran ini membolehkan Audi A4 menjadi pilihan yang lebih menarik untuk pengguna dan memenuhi gaya hidup mereka,” kata Ketua Komunikasi Korporat Audi Malaysia, Isaac Lee Mathew. 

Naik taraf ini menyaksikan model entry-level iaitu Audi A4 1.4 TFSI kini menerima kokpit maya (virtual cockpit) Audi, ciri MMI Navigation plus, antara muka telefon pintar Audi dan kamera undur. Untuk makluman, jentera itu dikuasakan oleh enjin TFSI 1.4 liter yang dipadankan dengan kotak gear S tronic tujuh kelajuan. Dengan kuasa 150hp dan tork 250Nm, ini bukanlah sedan yang perlahan. 

Audi A4 2.0 TFSI S line + Tech pack tampil lebih menarik dengan pakej dalaman dan luaran S line. Rekaan bahagian hadapan, belakang dan rim aloi bersaiz 18 inci membuatkannya kelihatan lebih agresif. Dijana oleh enjin 2.0 liter TFSI berkusa 190hp dan tork puncak 320Nm, jentera ini pasti dapat memuaskan ekspektasi anda. 

Varian tertinggi, Audi A4 2.0 TFSI quattro Tech pack jelas membuatkan sedan berkuasa tinggi ini semakin menarik. Ia kini dilengkapi kokpit Audi virtual, lampu Matrix LED dan sistem bunyi  B&O 3D. Digerakkan oleh enjin 2.0 TFSI berkuasa 252hp dan tork 370N, ia mampu memecut dari 0 hingga 100km/j dalam masa 5.8 saat sahaja.  

Kokpit maya Audi terdiri daripada kluster instrumen digital sepenuhnya, beresolusi tinggi dan berwarna bersaiz 12.3 inci. Paparan itu menyediakan maklumat penting dan fungsi pemanduan penting yang diselaraskan dengan Audi MMI (Multi Media Interface) serta Navigation plus.

Sudah pun ada pada model Audi TT dan Audi Q7, kokpit maya Audi ini ditambah dengan ciri ketersambungan telefon yang lebih canggih. 

Harga 

Audi A4 1.4 TFSI Tech pack – RM243,900 (tambahan RM25,000)

Audi A4 2.0 TFSI S line + Tech pack – RM298,900 (tambahan RM25,000)

Audi A4 2.0 TFSI quattro Tech pack – RM334,900 (tambahan RM20,000) berbanding varian Audi A4 2.0 TFSI quattro.

Biarpun begitu, Audi Malaysia akan menawarkan harga pengenalan untuk ketiga-tiga model ini, selagi stok masih ada. Harga adalah seperti berikut: 

Audi A4 1.4 TFSI Tech pack – RM224,900,

Audi A4 2.0 TFSI S line + Tech pack – RM 274,900

Audi A4 2.0 TFSI quattro Tech pack – RM 314,900

Model yang dipasang di kilang Audi di Ingolstadt, Jerman ini hadir bersama jaminan selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had. 

Google ads
Back to top button