Motosikal

PULSAR DAREVENTURE – WEBSERIES 8 EPISOD BAKAL BERSIARAN DI SALURAN YOUTUBE MODENAS

Rancangan realiti TV  Pulsar Dareventure yang diperkenalkan oleh Bajaj pada tahun 2014 bakal bermula di Malaysia setelah berjaya di Nepal, Peru dan Sri Lanka.

Pertama kali diadakan di Asia Tenggara, rancangan realiti itu akan menghiburkan penonton khususnya peminat sukan bermotosikal di Malaysia. Webseries lapan bahagian yang dibawakan oleh MODENAS Malaysia itu akan disiarkan di saluran YouTube MODENAS bermula 8 Februari 2019.

10 orang peserta dari seluruh Malaysia telah dipilih untuk melalui cabaran Pulsar Dareventure dengan menunggang Modenas Pulsar NS200. Ia akan menguji daya ketahanan fizikal dan mental peserta bagi menjadi pemenang Pulsar Dareventure Malaysia yang pertama.

Pemenang bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 dan sebuah motosikal Modenas Pulsar NS200 baharu.

Rancangan realiti ini diserikan oleh pengacara  terkenal yang juga merupakan seorang peminat motosikal, Kiki (Nurul Alis Aidil Akhbar). Setiap minggu, ia memberi tumpuan kepada ciri-ciri utama motosikal Modenas Pulsar NS200.

Kualiti pemasangan, daya tahan, pengendalian dan faktor keseronokan tunganggan membuatkan Modenas Pulsar NS200 diberi nama timangan, “an adrenaline pumping beast”.

Reka bentuk tangki minyak, sistem transmisi manual 6 kelajuan serta rangka yang dibina daripada keluli mampat menawarkan pecutan mengujakan kepada peserta yang menunggang Modenas Pulsar NS200 ketika mengharungi halangan dan cabaran sepanjang pertandingan.

Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS, Amirudin Abd Kadir amat teruja rancangan bersiri ini tiba di Malaysia.

“Kami amat gembira kerana dapat membawa Pulsar Dareventure ke Malaysia. Ini adalah satu peluang kepada peminat sukan bermotosikal tanah air untuk merasai pengalaman unik di Malaysia.

“Di negara-negara lain sebelum ini, sambutannya cukup menggalakkan. Jadi, kami yakin ia juga akan berjaya di Malaysia,” kata Amirudin.

Cabaran ini terbuka untuk semua rakyat Malaysia sama ada lelaki atau perempuan berumur 18 tahun ke atas yang mampu memenuhi syarat keupayaan fizikal dan mental serta mempunyai lesen B2 atau B.

MODENAS telah mengadakan uji bakat pencarian peserta di Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Setiap calon diminta berkongsi sebab perlu dipilih sebagai peserta, faktor yang mendorong mereka untuk menyahut cabaran ini di samping menjalani ujian di lokasi lokasi tersebut.

Uji bakat ini turut dibuka dalam talian di mana calon menghantar video uji bakat selama 1 minit yang dimuat naik ke laman web MODENAS Malaysia.

Pencarian telah menyenarai pendek seramai 30 individu di dalam saringan kelayakan akhir yang diadakan awal bulan ini, sebelum 10 peserta akhir dipilih.

Ikuti  #PulsardareventureMY melalui saluran media sosial berikut:

Facebook:  @Pulsar Malaysia |    Instagram: @modenas.malaysia | YouTube: @Modenas Malaysia

Google ads
Back to top button