Artikel Pilihan

GINA FINANZA DAUD YANG PATUT KITA KENALI

Gina Finanza Daud bukanlah nama yang asing dalam senario rali tempatan. Beliau bolehlah dianggap sebagai ratu dalam dunia rali. Brader Karrager berjaya mendapatkan beliau secara atas talian bagi berkongsi tentang siapakah gerangan Gina Finanza dan kisah-kisah menarik beliau untuk dikongsi bersama pembaca Mekanika.

BACA : JOM KENALI SUTAN MUSTAFFA SALIHIN (SMS)

BACA : GILIRAN HAJI SUHAIMI MENJUARAI RALI PERAK 2017

Gina Finanza, berusia 42 tahun sebelum terlibat dalam rali adalah merupakan seorang Safety & Health Officer (SHO) selama 18 tahun lamanya. Jarang sungguh ada wanita yang berkerjaya sebagai SHO ini. Dan kini beliau telahpun membuka Pusat Latihan Keselamatan bersama rakan kongsinya di Taman Sentosa, Klang. Gina giat menjalankan kerja-kerja dakwah berkaitan keselamatan jalanraya, pemanduan selamat dan tentang CPR serta pertolongan cemas (First Aider). Malah, Gina turut pernah beraksi sebagai pemandu lagak ngeri dalam filem.

Kalau tengok senarai tugas, sememangnya Gina ini adalah seorang yang lasak. Mahunya tak lasak, beliau adalah anak perempuan tunggal dan mempunyai tiga orang beradik lelaki, Wino Finster, Ronny Finster dan Andy Finster. Kalau tengok nama ingat saing Hans Isaac dah.

Menurut Gina, nama mereka sememangnya unik dan lain daripada yang lain. Senang nak cari kalau hilang ke apa. Nak lari rumah masa kecil pun jangan haraplah. Nama catchy ni senang hafal orang kata. Nak serong sekolah apatah lagi.

Penglibatan Gina dalam rali bermula pada 2008, ketika menyertai Rally X di Sepang dengan menggunakan kereta yang dibeli tunai menggunakan simpanan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Poket), Proton Satria 1.6cc. Daripada asalnya untuk berlumba di trek, namun lebih sedap main rali katanya. Jenuh jugalah nak kumpul duit nak pasang rollcage sama cari penyerap hentak terpakai. Mujur juga ada kawan-kawan yang sudi sedekah jariah tayar bagi kegunaan rali.

Kemudiannya bila KWSP tadi dah mula penuh sikit, gatal pula nak merasa enjin yang lebih besar, upgrade pula ke enjin 1.8cc. Sekali lagi, Gina mempunyai sahabat, En. Ikmal dari MH Tuner. Tahukah, suatu ketika dahulu Brader Karrager turut pernah merasai taxi ride dengan Gina, naik Proton Satria tersebut yang sekali lagi telah ditingkat taraf dengan penggunaan enjin 2.0 pula serta menggunakan bahan bakar bio-diesel. Baru mesra alam orang kata.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini Gina agak menyepi. Sibuk dengan kerja hakiki. Itu belum lagi sibuk menjalani latihan menyertai MAPS Perak sebagai pemandu lagak ngeri. Namun Gina terpaksa menarik diri apabila kurang bersedia untuk menyertainya sepenuh masa sekaligus berpindah ke Perak. Nak kena angkut keluarga pindah dari Shah Alam leceh juga.

Bermula Rally of Johor, Gina kembali membuat comeback apabila dilamar untuk menyertai pasukan D Wau One Motorsport dengan kereta Proton Saga AB sebagai hantaran utamanya. Barangkali jentera seklasik itu selayaknya pemandu yang klasik dan handal juga untuk mengendalikannya. Walaupun ibarat kereta tua, namun prestasinya bersama Gina boleh tahan juga. Jangan main-main.

Budak-budak wicet jangan nak mengada panggil Gina tu Gina aja. Baik kau panggil Makcik. Anak dia yang sulung nak ambil STPM dah hujung tahun ni. Pun dah mula merasa pengalaman berlumba atas litar ELITE, terima kasih kepada Uncle Jagjeet yang sudi menaja yuran perlumbaan.

Mungkinkah saingan MRC tahun hadapan kita boleh lihat kelibat pasangan anak beranak ini atas podium kemenangan? Siapa tahu?

Kredit Foto : FB Gina & Malaysianrally

Google ads
Back to top button