Artikel PilihanMotosikal

APRILIA RS250 – JENTERA 250CC 2-LEJANG TERHEBAT DALAM SEJARAH GP DUNIA

Aprilia tidak menyertai dunia perlumbaan sehinggalah penghujung 80-an tetapi telah memenangi perlumbaan GP pertama mereka dalam tahun 1987 untuk kategori 125cc. Mereka kemudiannya memenangi gelaran dunia 125cc pada tahun 1992 dan 250cc pada tahun 1994 menerusi Max Biaggi. Sejak dari itu majoriti motosikal yang berada pada garis perlumbaan GP125 dan 250 didominasi oleh Aprilia.

Bagaimanapun itu satu ketika dulu dan selepas peraturan keluaran gas ekzos diperketatkan, jentera 2-lejang kian menghilang dari kancah perlumbaan dan jalan-jalan raya.

BACA: MEMORI JENTERA MOTOGP – GP500 2-LEJANG

Hasil kegemilangan mereka dalam GP motosikal dunia, Aprilia pernah menghasilkan motosikal-motosikal hebat untuk kegunaan jalan raya dan merupakan replika kepada jentera perlumbaan. Aprilia RS250 merupakan satu daripadanya. Malah ia juga pernah dipasarkan secara rasmi di Malaysia sehinggalah awal tahun 2000.

Aprilia RS250 merupakan sebuah jentera 2-lejang dengan enjin 250cc yang mampu menghamburkan sehingga 60 bhp kuasa. Jika nisbah kuasa per liter menjadi ukuran, motosikal ini sebenarnya mempunyai potensi yang melebihi jentera MotoGP dan kereta F1 (240bhp/liter). Bukan itu saja, ia sebenarnya adalah jentera 2-lejang 250cc terakhir dipasarkan. Sedih.

Pengeluar motosikal 250cc 2-lejang dari Jepun ialah Suzuki dan Aprilia telah menggunakan enjin v-twin Suzuki 250 2-lejang yang telah diubahsuai mengikut adunan mereka sendiri. Tapi bila Suzuki menghentikan produksi enjin 2-lejang mereka, Aprilia tidak ada pilihan selain menghentikan pengeluaran RS250 sekitar 2004 kerana kesukaran mendapatkan bekalan enjin.

Pada tahun 2003, jentera 250cc Aprilia telah memenangi 14 daripada 16 perlumbaan GP dunia dengan lima penunggan berbeza menaiki podium. Dikatakan juga jika perangkap halaju dipasang, sembilan daripada sepuluh penunggang yang melanggar halaju ialah penunggang Aprilia, betul ke ni? Betul la kot sebab, Aprilia 125cc memang laris betul di Malaysia sekitar penghujung 90-an dulu.

Sebagai sebuah replika perlumbaan, motor ni memang semput la kalau dipacu dengan perlahan tetapi selepas melepasi 5,000 RPM barulah ia meludah kahaknya. Teruskan memecut sehingga 8,000 RPM dan kita akan merasai keseronokan menunggang yang sebenarnya. Perasaannya memang tak boleh digambarkan dengan menunggang skuter automatik.

Walaupun enjin v-twin bersudut 90-darjah ini diambil daripada Kawasaki, sebenarnya pengetahuan Aprilia tentang sistem kemasukan dan kitaran gas ekzos yang menjadikan enjin ini lebih kompetitif berbanding enjin standard Suzuki. Itulah kelebihan yang ada pada Aprilia sebenarnya.

Bagaimana dengan kuasa brek? Jangan bimbang kerana dua cakera berdiameter 298mm di depan dan dikepit pula oleh dua angkup brek Brembo piston berkembar sudah cukup untuk menghentikan motosikal seberat 140 kilogram ini. Tiada masalah untuk menghentikan motosikal ini dengan segera bila sudah mahir menunggangnya. Brek belakangnya pula dengan cakera bersaiz 220mm pula dilaras dengan cukup baik agar berfungsi seiring dengan brek hadapan.

Di atas kertas ia dikatakan mempunyai kelajuan maksima 220 km/j dan bagi kami ia mampu pergi dengan lebih laju. Mana tidaknya Yamaha TZM150 pun dengan selamba saja Abang Japar pecut melebihi 220 km/j untuk pergi makan satey Kajang tahun 90-an dulu.

Dengan keberanian dan kecekapan penunggang senang-senang saja aksi wheelie boleh dilakukan oleh penunggang berpengalaman. Ia juga mempunyai kawalan antara terbaik di kalangan sportbike.

Untuk selesa di atas jalan raya, ini bukanlah model pilihan kecuali jika anda berulang-alik menggunakan lebuh raya dan kelajuan adalah matlamat anda. Nak bawak pembonceng? Tak payahlah, sebab memang tidak selesa kecuali tiada pilihan lain. Malah kawalan motosikal ini juga akan terjejas. Baik suruh awek korang naik bas.

Motosikal ini juga direka dengan teliti sehingga tidak satu pun komponen tercecah permukaan jalan sewaktu anda mengambil selekoh, kecuali jika anda memang pelumba professional yang mengambil selekoh dengan ekstrim. Itu pun biasanya but dan pad lutut yang kena litar dulu bukan bahagian badan motosikal.

Kalau ada muncul di pasaran baik cepat-cepat beli sebelum Pak Amid kau dapat tau. Dia pun dah lama minat model ni, untuk ke masjid katanya.

Tags
Google ads
Back to top button