
APRILIA SR MAX 300
Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira), pengimport rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia semalam melancarkan skuter Aprilia SR Max 300 malam semalam.
Skuter maxi yang sesuai untuk kegunaan harian dan jarak jauh itu ditawarkan pada harga RMRM31,800 (termasuk GST) seunit. Tetapi, bagi 50 orang pembeli terawal, anda boleh memiliki jentera tersebut pada harga RM28,800 sahaja!
Aprilia SR Max 300 dilengkapi oleh enjin silinder tunggal empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Enjin yang memiliki sistem pancitan bahan api itu mampu menjana kuasa mencecah 22hp @ 7,250rpm dan tork maksimum 23Nm @ 6,000rpm.
Dengan berat hanya 161kg (paling ringan dalam kelasnya), kuasa itu sudah cukup untuk menawarkan tunggangan yang penuh kuasa dan mengujakan. Keselesaan tunggangan ditingkatkan lagi menerusi tempat duduk yang lebar dan empuk.
Menggunakan gabungan suspensi jenis fork teleskopik hidraulik pada roda hadapan dan penyerap hentak hidraulik dengan tiga talaan pra bebanan untuk roda belakang, skuter ini menjanjikan tunggangan yang mantap.
Tangki minyaknya pula mempunyai kapasiti 15 liter (2.8 liter simpanan), jadi penunggang tidak perlu kerap berhenti untuk mengisi petrol.
Sekali pandang, Aprilia SR Max 300 memang tampil agresif. Bahagian hadapan, sisi dan belakang dimonopoli oleh garis-garis tajam.
Aprilia SR Max 300 ditawarkan dalam dua warna iaitu putih dan hitam, bersama jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu).