Motosikal

ARAI RX7X

Arai jenama terkenal topi keledar yang digunakan oleh pelumba MotoGP kini  tampil dengan lima perubahan penting bagi model 2016.

arai-rx7x-2016-mekanika (4)

Model terkini Arai RX7X menerima corak grafik baharu. Selain itu, pihak Arai turut melakukan perubahan pada kedudukan titik paksi visor, kunci visor, spoiler, cengkerang dan reka bentuk dalaman berbanding model terdahulu, RX7 RR5.

Pengurus Jualan KLCL Enterprise Sdn. Bhd., Goh Sai Kern berkata titik paksi visornya kini 24mm lebih rendah daripada model terdahulu.

“Ini untuk mewujudkan kawasan yang licin dan lebih besar bagi menghasilkan kekuatan maksimum bahagian atas kepala.

“Topi keledar Arai RX7X juga dilengkapi dengan cengkerang yang kekal berbentuk bulat tetapi bahan buatannya diubah dan dibina semula untuk menjadikannya lebih ringan sebanyak 30 gram,” katanya.

Malah, kunci visor seperti gaya F1 menggunakan tab kecil memudahkan urusan mengunci dan membuka visor. Bahagian spoiler  20mm lebih panjang, boleh mengalirkan udara panas dari dalam topi keledar serta meningkatkan aerodinamik pada kelajuan tinggi.

Sementara itu,  ketebalan busanya pada bahagian dalam direka bentuk semula agar lebih selesa. Bahkan menggunakan bahan anti bakteria.

Pengedar tunggal helmet jenama Arai di Malaysia, KLCL Enterprise Sdn Bhd menjual model berkenaan pada harga sekitar RM2,600. Tidak ketinggalan, lima corak grafik baru replika yang pernah digunakan oleh lima pelumba MotoGP seperti Freddie Spencer, Dani Pedrosa, Maverick Vinales, Nicky Hayden dan Katsuyuki Nakasuga turut ditawarkan.

“KLCL Enterprise merupakan satu-satunya syarikat yang mendapat permit import dan kelulusan SIRIM Berhad untuk memasarkan topi keledar berjenama Arai di Malaysia.

“Hanya Arai yang berpelekat SIRIM, sah digunakan untuk pasaran negara ini kerana telah melalui ujian keselamatan. Tanpanya, kami khuatir pengguna motosikal mudah terdedah dengan topi keledar tiruan yang pasti membahayakan mereka,” katanya.

Mengukuhkan keyakinan pelanggan, KLCL Enterprise juga menawarkan servis rawatan dan alat ganti percuma topi keledar Arai RX7X. Sekiranya jika berlaku kerosakan atau kecacatan berpunca daripada pihak pengeluar.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button