Motosikal

RASMI: KTM 1390 SUPER DUKE R, 990 DUKE LANCAR DI MALAYSIA – DARI RM99,800

KTM Malaysia mengiringi pelancaran 250 Duke dan 390 Duke dengan dua model berkuasa tinggi, KTM 1390 Super Duke R dan 990 Duke untuk pasaran tempatan. 

KTM 1390 Super Duke R hadir dengan harga jualan RM151,300 sementara 990 Duke pula ditawarkan pada RM99,800.

KTM 1390 Super Duke R

Untuk rekod walaupun membawa nama 1390, model ini hanyalah bersesaran 1350cc yang merupakan platform baharu diperkenalkan KTM bagi menggantikan KTM 1290 Super Duke R sebelum ini. 

Sesaran enjin yang lebih besar itu dicapai dengan membesarkan ‘bore’ dari 108mm kepada 110mm. Bagaimnapun, ‘stroke’ dikekalkan pada 71mm. Senario ini sekaligus menyaksikan 1390 Super Duke R EVO menawarkann 188hp (naik 11hp) dan 145Nm. 

Antara yang turut dipertingkat adalah sistem ‘cam’ baharu yang membolehkan enjin menukar profil ‘cam’ mengikut kadar ‘rev’ enjin. 

Walaupun enjin lebih berkuasa, KTM memastikan platform baharu ini lebih jimat dari segi penyelenggaraan ekoran servis utama hanya perlu dilakukan setiap 60,000km. Antara peningkatan lain termasuk, kotak udara baharu dan diameter ‘throttle body’ yang lebih lebar – dari 56mm kepada 60mm. Ini juga menyebabkan RPM naik lebih 500rpm berbanding versi 1290. 

Meskipun banyak naik taraf diberikan namun KTM 1390 Super Duke R EVO ini masih mengekalkan casis ‘steel tube’ yang sama dengan 1290 Super Duke R. 

Antara kelengkapan lain ditawarkan termasuk suspensi WP Semi-Active Technnology dengan tujuh mod pilihan; Auto, Comfort, Rain, Street dan Sport serta Track dan Pro (Track dan Pro hanya boleh dipilih dengan opsyen Suspension Pro). 

Pakej brek pula terdiri daripada Brembo Stylema di depan yang dipadankan bersama cakera 320mm dan brek 2-pot belakang dengan cakera 240mm. 

Atas kertas model ini juga dilengkapi klac Brembo Master Cylinder (MCS) dengan sistem ‘self-venting’ bermakna tak perlu lagi untuk melakukan servis ‘bleeding’. 

Antara ciri lain yang turut tersedia termasuk:

  • panel meter TFT 5-inci
  • tangki 17L dan lampu baharu (700g lebih ringan)
  • berat 212kg (tangki penuh)

KTM 990 Duke

KTM 990 Duke merupakan model serba baharu yang diperkenalkan bagi tahun 2024, menggantikan 890 Duke yang telah pun dihentikan pengeluaran sementara 790 Duke masih dikekalkan namun dihasilkan CFMOTO di China. 

Atas kertas, KTM mendakwa bahawa 990 Duke bukan sekadar membesarkan bore dan stroke pada 890 Duke sebaliknya dibangunkan sepenuhnya dari kosong. 

Pertamanya, 990 Duke dikuasakan unit parallel-twin 947cc DOHC yang berupaya menjana 123hp dan 103Nm. 

Selain enjin baharu, 990 Duke juga dilengkapi dengan kerangka yang 15 peratus lebih kukuh berbanding yang terdapat pada 890 Duke. Selain itu, bahagian swingarm juga 2.2kg lebih ringan. 

Walaupun jentera dengan gelaran ‘The Sniper’ ini lebih besar namun menawarkan prestasi yang lebih baik menerusi tiga pilihan mod; Sport, Street dan Rain. Ketikak kami menguji jentera ini di Almeria, Sepanyol, mod Sport merupakan mod pilihan kerana enjin lebih responsif dan mengujakan. 

Dalam pada itu, 990 Duke turut dilengkapi dengan paparan TFT 5-inci. 

Pakej suspensi pula merangkumi fork depan WP Apex 43mm dengan pelarasan ‘compression’ dan ‘rebound damping’ sementara bahagian belakang pula menempatkan penyerap hentak WP Apex dengan pelarasan pra-beban dan ‘rebound’ sahaja. 

Google ads
Back to top button