
FIRAUN DIARAK GUNA TRAK BINAAN KHAS DI MESIR
Mesir baru-baru ini mencatat sejarah apabila mengadakan perarakan mumia Firaun dalam satu majlis khas.
Sebanyak 22 mumia diraja Mesir yang terdiri daripada 18 raja dan empat permaisuri itu telah dipindahkan dari Muzium Mesir di Dataran Tahrir di Kaherah menuju ke Muzium Negara Ketamadunan Mesir di Fusta.
Perarakan sejauh 5 kilometer tersebut turut menyaksikan persembahan lampu, sekumpulan individu memakai pakaian serta menaiki kereta kuda seperti di zaman silam.
Apa yang lebih menarik, Firaun berkenaan diarak menggunakan trak binaan khas. Ia dihias dengan rekaan zaman purba Mesir, lengkap bersama nama Firaun yang menaikinya.
Trak tersebut didakwa menggunakan penyerap hentak khas demi memastikan mumia itu dapat dipindahkan dengan sebaik mungkin. Mumia itu juga diletakkan di dalam kotak yang diisi dengan gas nitrogen bagi memastikan ia tidak terdedah kepada elemen luar.

Sepanjang laluan dikawal rapi oleh pihak berkuasa dengan konvoi diiringi oleh kereta kuda yang dikendalikan lelaki berpakaian seperti panglima perang. Sebaik sahaja tiba di muzium baharu, mumia-mumia itu disambut dengan 21 das tembakan meriam sebagai tanda hormat.
Antara Firaun paling popular yang dipindahkan ialah Raja Ramses II yang memerintah Mesir selama 67 tahun dan menandatangani perjanjian damai pertama. Sementara Raja tertua ialah Seqenenre Tao yang menaiki takhta pada abad ke-16 sebelum masihi.
Matlamat utama perarakan itu adalah untuk memindahkan Firaun ke muzium yang lebih canggih. Namun begitu, pihak berkuasa Mesir turut berharap ia dapat merancakkan kembali sektor pelancongan yang sebelum ini terjejas teruk akibat ketidakstabilan politik dan pandemik COVID-19.
Majlis itu dihadiri oleh pegawai UNESCO, Pertubuhan Pelancongan Dunia dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi.