BAS BAHARU LONDON BUATAN BYD – MAKIN LEBAR SAYAP BYD DI EROPAH
Kehadiran pengeluar kenderaan dari China khususnya BYD semakin mendapat tempat di Eropah. Mereka sebelum ini memasarkan model Dolphin dan menjelang 2025, Seagull pula bakal dipasarkan di sana. Tapi paling menonjol semestinya pelancaran bas BYD untuk kota London yang berwarna merah menyala.
BYD BD111 ialah bas dua tingkat berkuasa elektrik sepenuhnya dan direka khusus untuk kegunaan di kotaraya Eropah itu. Jika mereka berjaya memenangi kontrak perbekalan, bas-bas BYD akan menggantikan Routemaster hibrid yang digunakan sebelum ini. Pentadbiran kotaraya London kini mahukan bas berkuasa elektrik sepenuhnya.
Bas baharu ini dilengkapi dengan bateri saiz gergasi 532 kWh dengan teknologi Blade keluaran BYD sendiri. Dengan bateri ini, BD111 mampu bergerak sejauh 644 km dengan cas penuh. Pergh boleh balik Kota Bharu ni dengan sekali cas. Ko guano bey? Bateri yang lebih kecil boleh dipilih jika syarikat operator tidak memerlukan jarak operasi yang jauh.
Masa yang diperlukan untuk mengecas bateri bas ini ialah selama beberapa jam dengan menggunakan pengecas 500-volt. Satu lagi pilihan ialah menggunakan pantograf yang dihubungkan dengan kabel elektrik disepanjang laluan bas. Ia juga mempunyai pilihan dual gun charging. Ya tuan-tuan… dua kabel pengecas boleh digunakan sekali gus. Hebat tak?
Tak cukup canggih lagi ke? Okey kalau tak cukup lagi bagaimana dengan empat motor elektrik yang menghantar kuasa ke permukaan jalan? Ia juga turut dilengkapi dengan suspensi aktif selain dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik sama seperti sebuah kereta.
BYD mendakwa mereka merupakan satu-satunya pengeluar kenderaan seumpamanya yang membangunkan enjin sendiri selain bateri, chip dan sistem kawalan. Ini bermakna mereka tidak perlu bergantung kepada pihak untuk untuk bekalan komponen. Hebat diorang ni.
Kereta EV memang abang tak minat dik tapi bas EV ok kot sebab bukan abang yang pandu. Naik bawak makanan sikit, kunyah-kunyah lepas tu tido. Tahu-tahu dah sampai ke destinasi.