Buletin

BENTLEY FLYING SPUR S – MEWAH, 4 PINTU, LAJU DAN NAMPAK JAHAT, LENGKAP!

Model buatan Bentley bukan tentang kemewahan semata dan jenama dari England itu tahu berseronok di antaranya menyertai perlumbaan Pikes Peak. Bukan menggunakan sedan tetapi SUV Bentayga!

Manifestasi keseronokan dan imej garang pula diterjemah kepada barisan varian S dengan yang terbaru untuk sedan empat pintu Flying Spur. Ini juga kali pertama varian S digunakan pada model hibrid.

Bentley Flying Spur S adalah model susulan kepada coupé Continental GT S dan GT S Convertible yang baru sahaja diperkenalkan dan turut kami laporkan sebelum ini.

Perkara utama yang menarik perhatian tentang Flying Spur S ialah gaya badan sedan empat pintu yang dijadikan lebih sporti.

Sedan Bentley ini bukan seperti pesaing mewah lain dengan reka bentuk yang menonjol, ianya hadir sederhana berkotak dan tipikal sebuah Bentley.

Untuk varian S ini komponen luaran warna krom atau cerah digelapkan. Gril warna hitam, lampu depan dan belakang digelapkan, empat muncung ekzos dan lencana S pada fender dibuat hitam.

Hanya lencana bersayap dan ejaan Bentley berwarna krom terang.

Menyerlahkan lagi imej ‘jahat’ varian S ialah pilihan roda 22 inci dalam warna hitam kilat atau Pale Brodgar Satin.

Satu lagi pilihan roda saiz 21 inci dengan corak tiga rongga dalam warna hitam kilat dan kemasan mesin (machined finishes).

Turut menyerlah ialah angkup brek warna merah dan satu karakter yang menonjol dari Bentley.

Pada bahagian dalam, Bentley menggunakan Dinamica iaitu sejenis bahan seperti suede pada stereng, gear, kusyen dan sandaran belakang.

Balutan kulit tidak tertinggal dan digunakan pada beberapa komponen seperti tepi kerusi, pad pintu, meter dan sekeliling konsol tengah.

Sama seperti bahagian luar, dalaman sedan ini juga tampil menyerlah dan misteri dengan warna gelap dan merah.

Menggerakkan Flying Spur S ialah dua pilihan enjin iaitu 4.0 liter V8 dengan kuasa 550 PS dan tork 770 Nm.

Pecutan 0-100 km/j hanya memerlukan empat saat dan kelajuan maksimum pula 318 km/j.

Dari segi pengendalian model ini dilengkapi Bentley Dynamic Ride dengan keupayaan sehingga 1300 Nm daya anti kilas dalam masa 0.3 saat supaya kereta kekal stabil ketika melayan selekoh.

Motor di dalam bar anti oleng berfungsi secara aktif bagi mengimbangi daya selekoh dan meminimumkan olengan badan kereta.

Teknologi itu turut mempertingkatkan keselesaan pada kelajuan jajap (cruising speeds) dengan nyahganding atau memisahkan roda kiri dan kanan.

Turut dilengkapi sebagai ciri standard ialah Electronic All-wheel Steering. Pada kelajuan rendah, sistem akan memusingkan roda belakang pada jarak berlawanan dengan roda depan sehingga 4.2 darjah.

Sistem itu mengurangkan darjah pusingan dan juga meningkatkan kelincahan kereta.

Pada kelajuan lebih tinggi, sistem akan memusingkan roda belakang mengikut arah sama seperti roda depan dan menjadikan kereta lebih stabil semasa penukaran lorong dan memotong.

Selain enjin V8, Bentley turut menawarkan rangkaian kuasa hibrid dengan enjin 2.9 liter V6 yang dipadan bersama motor elektrik.

Keseluruhan kuasa yang dihasilkan ialah 544 PS dengan tork 750 Nm. Pecutan dari 0-100 km/j pula sedikit perlahan berbanding model V8 dengan masa 4.1 saat.

Pandu tanpa petrol pun boleh, dalam mod elektrik model ini boleh dipandu sejauh 41 kilometer.

Suatu yang mengasyikkan juga tentang Flying Spur S ialah ekzos dengan bunyi lebih gema pada model V8 dan dalam mod Sport bagi model Hybrid supaya sepadan dengan karakter sporti.

Pada masa yang sama bunyi dalam kabin belakang kekal rendah. Sporti dan ia masih tetap sebuah Bentley!

BACA: BENTLEY CONTINENTAL GT DAN GTC S, INILAH COUPÉ MEWAH YANG SEGAK!

BACA: FLYING SPUR HYBRID, BENTLEY TERPALING EKONOMIKAL, SETANGKI 805 KM!

BACA: BENTLEY BENTAYGA SIAP EKZOS AKRAPOVIČ!

BACA: SELAMAT TINGGAL ENJIN BENTLEY L-SERIES V8, DARI 1959-2020!

Google ads
Back to top button