Buletin

BERANG DIBUANG KERJA, PENGURUS REMPUH KILANG DENGAN HONDA CIVIC SEBELUM BUNUH DIRI

Tidak berpuas hati kerana dibuang kerja, seorang bekas pengurus melakukan tindakan ekstrem apabila merempuh dan mahu membakar kilang tempat dia bekerja. 

Suspek yang merakam video berdurasi 14 minit menjelaskan tentang tindakan majikan memberhentikannya kerja itu kemudian membunuh diri. Kejadian berlaku di Kawasan Perindustrian Chemor, Perak kira-kira jam 6.42 petang kelmarin. 

Rempuhan yang melibatkan sebuah Honda Civic di fasa 1 kilang yang terletak 500 meter dari pintu utama itu mengakibatkan kerugian hampir RM1 juta. Selepas merempuh, dia berhenti seketika untuk membaling botol petrol ke dalam pejabat sumber manusia. 

“Suspek kemudian kembali memandu dan merempuh pula bilik Production Labelling Department yang menyebabkannya terbakar. Namun api dapat dipadamkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas,” kata Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz. 

Lelaki yang tidak membawa senjata itu kemudian melarikan diri dari kereta menuju ke pintu utama. Insiden itu bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kecederaan ke atas pekerja kilang yang lain. 

Kira-kira jam 7.45 malam, polis menerima satu laporan kemalangan maut melibatkan suspek di Jalan Kuala Kangsar, berhampiran kawasan Perindustrian IBG Tasek. Siasatan awal mendapat dia dilanggar oleh sebuah treler ketika melarikan diri dari kilang berkenaan. 

“Saksi awam menyatakan dia seolah-olah melintas jalan ketika treler itu semakin hampir dengannya. Siasatan lanjut masih dijalankan. Motif kejadian dipercayai berpunca kerana suspek tidak berpuas hati digantung kerja sejak September lalu atas masalah disiplin,” kata Asmadi lagi. – Kosmo!  

Google ads
Back to top button