Motosikal

BIMS 2018: VESPA SPRINT CARBON – AII… TAKKAN BANYAK ITU AJE KARBONNYA?

Sementara menunggu kain yang menutup motosikal di booth Honda dan Yamaha dibuka, abang Japar merajinkan diri pergi ke ruang pameran motosikal yang lain.

Jalan punya jalan (sebelah je pun), terjumpa dengan booth Vespa. Kalau nak tau, motosikal jenama Piaggio, Vespa, Moto Guzzi dan Aprilia dijual oleh pengedar tunggalnya, Vespiario (Thailand) Co.Ltd.

Apa yang menarik perhatian ialah Vespa Sprint 150 i-Get Carbon Edition. Sebagaimana namanya, ia dilengkapi beberapa komponen gentian karbon.

Oh bukan, yang ada cuma kemasan seperti gentian karbon dan pelekat berwarna merah “Rosso Dragon pada bahagian hadapan, sisi serta roda. Itu sahaja. Kalau nak lebih, kena tambah sendiri.

Jangan risau, bukan anda sahaja yang terpedaya, abang Japar pun sama.

Skuter itu menggunakan khidmat enjin silinder tunggal empat lejang dan tiga injap i-Get bersesaran 150cc. Berupaya menjana kuasa sehingga 9.5kW dan tork 12.8Nm, ia disalurkan ke roda menerusi kotak gear automatik CVT.  

Aspek keselamatan dipertingkatkan menerusi brek anti-kunci ABS. Penunggang boleh mengecas telefon pintar dan peranti lain menerusi port USB yang disediakan.

Pembeli akan diberikan satu set barangan eksklusif seperti topi keledar yang sama warna dengan motor, beg galas, topi, pad perlindungan dan rantai kunci.

Didatangkan dalam warna hitam (Nero Vulcano), Vespa Sprint 150 i-Get Carbon Edition berharga 129,000 baht (RM15,956) seunit.   

Abang Japar harap Naza Premira tidak terfikir untuk menjual model seumpama Vespa Sprint Carbon ini. Bimbang dikategorikan sebagai fake news pula nanti.

GALERI

Google ads
Back to top button