Buletin

BIMS 2023 CETUS PERANG HARGA ANTARA PENGELUAR KENDERAAN ELEKTRIK

Berlangsungnya Bangkok International Motor Show pada minggu lalu mencetuskan perang harga antara pengeluar kenderaan elektrik China, Jepun dan Korea Selatan.

BYD, pembuat kenderaan elektrik terkemuka China, melancarkan hatchback elektrik berharga serendah AS$23,457 (RM103,691), separuh daripada harga purata global untuk kenderaan elektrik.

Disebabkan itu, pesaing lain perlu meletakkan harga lebih rendah selain menawarkan pelbagai tawaran menarik.

Walaupun semua pembuat kereta tahun lepas mengalami kekurangan bekalan cip global, penganalisis industri menjangkakan tahun ini akan membawa permintaan yang lebih lemah, terutamanya pada separuh kedua.

Jualan kereta di China telah jatuh apabila subsidi EV ditamatkan pada 1 Januari lalu namun penganalisis percaya bahawa memasuki pasaran negara lain adalah jalan lebih menguntungkan terutamanya pasaran Thailand serta Indonesia.

Kedua-dua pasaran itu bersaing sengit untuk menjadi hab pembuatan EV di rantau Asia Tenggara dengan menawarkan insentif termasuklah bahan mentah diperlukan oleh bateri kenderaan elektrik.

Tahun lepas, Hyundai Motor mula mengeluarkan kereta di Indonesia, di mana ia akan mengeksport empat model baharu ke Thailand.

Pengeluar kereta Korea Selatan itu turut mempamerkan empat model di Thailand, termasuk kenderaan mini Stargazer baharu dan dua kenderaan elektrik dalam rangkaian Ioniq.

Perkembangan berkaitan, Hyundai mengadakan perancangan menubuhkan sebuah syarikat tempatan, Hyundai Mobility Thailand, pada 1 April, bagi mengendalikan pemasaran, jualan dan pengedaran.

Untuk rekod, Hyundai mencatat hasil jualan 4,958 kereta di Thailand pada 2022, peningkatan tahunan sebanyak 64 peratus tetapi masih ketinggalan jauh dari Indonesia, merekodkan jualan sebanyak 30,193 unit.

Dalam situasi semakin mencabar seperti hari ini, pastinya Toyota Motor terus mahu mengorak langkah sebagai pemimpin pasaran di Thailand dengan merancang memperkenalkan empat model hibrid baharu ke Thailand tahun ini.

Menurut Presiden Toyota Thailand, Noriaki Yamashita, Toyota berjaya menjual 159,696 kenderaan elektrik di Thailand.

Google ads
Back to top button