Motosikal

BMW CONCEPT RR BAYANGAN GENERASI BAHARU S 1000 RR

BMW Motorrad baru-baru ini telah pun mempertontonkan projek terbaru menerusi Concept RR yang didakwa sebagai visi baharu pengeluar motosikal Jerman itu.

Membuat debut di Concorso d’Eleganza Villa d’Este, Concept RR merupakan petanda aras baharu BMW Motorrad dalam penghasilan motosikal berprestasi tinggi untuk jalan raya dan litar lumba. 

Terselindung di sebalik panel badan gentian karbon adalah unit empat silinder 999cc yang berupaya menjana 230hp. BMW Motorrad turut melengkapkan Concept RR dengan pakej elektronik yang sama ada pada jentera M 1000 RR yang beraksi di WSBK. 

Dalam pada itu, BMW turut memberi penekanan pada aspek aerodinamik terutamanya dalam menghasilkan kestabilan optimum pada kelajuan tinggi dalam keadaan lurus dan di selekoh selain mengurangkan tahap rintangan udara. 

Tahun lalu, BMW telah pun mempatenkan adaptive winglets namun ciri itu tidak kelihatan pada Concept RR. 

Menurut CEO BMW Motorrad, Markus Flasch, ini merupakan kali pertama pihaknya mempertontonkan visi awal generasi RR pada masa akan datang. 

Walaupun Concept RR bukanlah model yang akan dibawa ke peringkat produksi namun motosikal berkenaan sedikit sebanyak memberi bayangan rupa dan teknologi yang akan diguna pakai pada generasi baharu S 1000 RR dan M 1000 RR. 

Google ads
Back to top button