Motosikal

KERAJAAN BAKAL WAJIBKAN SISTEM ABS PADA MOTOSIKAL 150CC DAN KE ATAS. TUNGGU KAJIAN TERPERINCI MIROS

Kerajaan dilapor bakal mewajibkan pemasangan sistem brek antikunci atau ‘anti-lock braking system’ (ABS) untuk model  motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah penguatkuasaan itu akan mewajibkan pemasangan sistem berkenaan ke atas semua syarikat pengeluar motosikal. Namun, ia hanya akan dilaksanakan selepas mendapat kajian terperinci yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).

Kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada Miros untuk menjalankan kajian berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan penuh dilaksanakan dalam jangka masa dua tahun selepas tempoh kajian itu selesai.

Kajian tersebut akan turut melibatkan semua pemegang taruh termasuk industri pembuat motosikal dan wakil pengguna.

Melalui kajian yang dilakukan Miros terhadap teknologi ABS setakat ini, ia dilihat mampu mengurangkan sekurang-kurangnya 30 peratus kemalangan dan kematian membabitkan pengguna motosikal.

“Ini bermaksud kita ada tempoh transisi ynag kita boleh benarkan. Mana-mana pembuat atau pengilang yang sudah bersiap siaga tidak ada masalah, boleh teruskan.

“Kalau mereka yang masih ada masalah, dia boleh gunakan tempoh diberikan untuk melakukan. Kita akan lihat keberkesanan apabila dipasang pada mereka penunggang motosikal lebih 150cc seterusnya kita akan melihat ke bawah, macam mana,” katanya.

Wee berkata demikian dalam sidang media selepas meraikan sambutan ulang tahun ke-19 Miros di Makmal Pelanggaran Miros PC3, di Ayer Molek, Melaka pada Selasa.

Mengulas lanjut, teknologi ABS merupakan teknologi yang mampu menghalang tayar motosikal terkunci dan tergelincir, selain terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang.

Secara purata kemalangan maut pada tahun 2019 lalu iaitu tempoh sebelum pandemik COVID-19 adalah sebanyak 6,000 setahun. Manakala purata kemalangan maut bagi tahun 2020 adalah sebanyak 4,658.

Daripada angka itu, 64 hingga 67 peratus atau dua pertiga daripada jumlah kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal. Justeru, kerajaan tidak akan tergesa-gesa dalam membuat sebarang keputusan sekali gus tidak akan memberi beban kepada mana-mana pihak khususnya syarikat pengeluar motosikal. – Astro Awani

Google ads
Back to top button