Artikel Pilihan

BOS BUGATTI PANDU VW GOLF R32 – INI BARU JIWA MOTORSPORT

Mate Rimac ialah bos Bugatti yang cukup terkenal kerana telah membangunkan jentera EV yang menarik. Namun seperti insan hebat lain beliau turut melalui fasa R&D kendiri semasa remaja yang bermula dengan sebuah BMW E30 1983 dan enjin pecah.

Sebelum menghasilkan Concept_One dan Nevera, Rimac bermula dengan BMW 3 Series lama yang diubahsuai menjadi sebuah EV. Diberi nama jolokan Green Monster, BMW tersebut menjana 600 hp dan memegang rekod pecutan terpantas EV 2011.

Selepas itu, Rimac telah membeli beberapa lagi kereta yang menarik minat beliau antaranya ialah BMW M5 E39 dan M3 E30 Sport Evolution. Beliau pernah dilihat memandu Z4 M Coupe dan F90 M5 Competition dan turut memiliki M3 CSL E46 dan M6 E64 dengan enjin V10. Mamat Crotia ni memang minat BMW rasanya.

Tapi terdapat sebuah lagi kereta dalam garaj beliau yang mempunyai logo yang berbeza. Sebuah Volkswagen tuan-tuan. Dah tentu ia bukan VW yang biasa-biasa kerana model yang dimaksudkan ialah sebuah Golf R32 MkV.

Ia merupakan antara kereta kegemaran Rimac kerana mempunyai kotak gear enam kelajuan DSG, lima pintu dengan kunci yang tidak jauh bezanya dari sebuah Veyron. Tapi Rimac bukan seorang peminat pop ang bang. Beliau memilih restomod dengan meningkatkan kualiti kemasan dalaman dan penambahan teknologi untuk menjadikannya hot hatch yang lebih terkini.

Satu perkara yang kami suak dengan Mate Rimac ini ialah beliau berjaya meyakinkan Volkswagen Group supaya tidak menjadikan pengganti Chiron sebuah SUV elektrik. Ya, perancangan awal Bugatti ialah untuk menghasilkan sebuah SUV EV tapi bila teraju syarikat diambil alih oleh Rimac, beliau telah meluluskan pembikinan hypercar baharu, Tourbillon. Ia menampilkan enjin NA 8.3 liter V16. Masih sebuah hibrid tapi seribu kali lebih menarik berbanding Prius.

Inilah ciri yang sepatutnya ada pada bos syarikat kereta. Mereka mesti suka memandu dan semestinya mampu mengenal pasti kereta-kereta hebat dan bukannya memandu supercar sewa ke hulu ke hilir untuk menunjukkan kekayaan hasil produk timbang kati.

Google ads
Back to top button