Artikel Pilihan

CARLOS GHOSN: LELAKI AJAIB DI SEBALIK PAKATAN RENAULT-NISSAN

Bolehkah sebuah konglomerat besar menjadi hilang kawalan? Inilah antara soalan yang sedang berlegar mengenai Renault-Nissan. Ini kerana Carlos Ghosn, CEO kepada kedua-dua syarikat ternama ini telah menempa kecemerlangan dalam menguruskan  kedua-dua syarikat pembuat kenderaan terkemuka dunia itu.

Ia juga merupakan satu struktur pentadbiran yang sungguh mencabar dan dikatakan hanya Ghosn yang mampu melakukannya. Siapa lagi yang mampu menguruskan dua buah syarikat yang tersenarai di dalam Fortune Global 500, dengan jarak operasi antaranya terpisah 12-jam penerbangan dan dengan dua bahasa perantara yang berbeza?

Beliau merupakan pengerusi dan CEO bagi kedua-dua syarikat dengan satu beribu pejabat di Yokohama, Jepun dan satu lagi di Boulogne-Bilancourt, Perancis. Ibarat Abang Japar beribupejabat di Kodiang dan operasi mekanika di KL.

CEO Ghosn: Datsun on the Rise

Ghosn seolah-olah diciptakan khusus untuk tugas ini. Beliau mampu berkomunikasi dengan orang yang baru dikenali, tidak ada komitmen lain kecuali untuk keluarga beliau dan sanggup merentas 300,000 batu perjalanan setahun untuk bertugas.

Persoalannya siapakah yang akan mengetuai gagasan dua syarikat (Ghosn memanggil gagasan ini Pakatan Renault-Nissan) ini bila beliau bersara? Ia suatu tugas yang sukar dan berat sehingga Ghosn sendiri pernah berkata kepada kalangan rakan beliau, “Siapa yang sanggup memegang jawatan ini?”.

Adakah Pak Amid?

Buat masa ini, posisi ini adalah milik Ghosn. Sekian lama menerajui pakatan ini, beliau telah membawa Renault-Nissan menjadi pengeluar kenderaan keempat terbesar di dunia selepas, Toyota, GM dan VW.

 

Dalam tahun 2014 sahaja, hasil jualan Nissan di AS telah meningkat sebanyak 12 peratus dengan penghasilan pelbagai model untuk jualan. Dalam tiga tahun kebelakangan juga saham Nissan telah meningkat sebanyak 50 peratus dan Renault pula naik lebih dari sekali ganda.

Namun CEO Renault-Nissan ini perlu melakukan sesuatu yang ajaib jika mereka ingin naik ke kedudukan ketiga dan mengatasi VW. Buat masa kini Renault-Nissan menjual 8.5 juta unit kenderaan di serata dunia sedikit ketinggalan berbanding Toyota, GM dan VW yang masing-masing menjual hampir 10 juta unit kenderaan.

Tetapi terdapat beberapa halangan kepada usaha Ghosn untuk menaikkan lagi kedudukan pakatan ini antaranya ialah penghijrahan beramai-ramai para eksekutif tertinggi syarikat Renault dan Nissan ke syarikat lain, kedudukan Infiniti yang agak terumbang ambing dalaam pasaran kenderaan mewah dan pelaburan USD 6 Billion untuk Nissan Leaf yang belum membuahkan hasil.

renault-nissan-mitsubishi

Walaupun kedua-dua syarikat ini mempunyai ibupejabat mereka sendiri, Ghosn bagaimanapun lebih banyak menghabiskan masa di satu lagi ibupejabat beliau sendiri di Amsterdam.

Ia mempunyai lembaga pengarahnya sendiri dengan gabungan tiga orang eksekutif dari Renault dan tiga orang lagi dari Nissan. Di pejabat beliau di Amsterdam inilah segala keputusan strategik penting diputuskan. Macam mana? Dah pening ke?

Ia semakin menarik bila Pakatan ini juga telah membeli syarikat pengeluar kenderaan Russia, AutoVaz yang mengeluarkan model paling laris di Russia, Lada. Ghosn juga kini adalah pengerusi AutoVaz. Dengan kata lain, kini beliau menguruskan tiga syarikat dengan tiga bahasa perantara berbeza dan menyumbang kepada penjualan 10 peratus kereta di pasaran dunia.

Lebih unik lagi, Pakatan ini juga memiliki 3.1 peratus pegangan saham dalam syarikat Daimler. Sebagai balasan, Daimler juga memiliki 3.1 peratus pegangan dalam syarikat Renault dan juga Nissan.

Daimler dan Pakatan ini mempunyai 12 projek besar di serata dunia. Renault menghasilkan enjin diesel untuk Mercedes dan pengeluar Jerman itu membekalkan sistem transmisi  untuk Infiniti.

Ghosn masih bekerja 8 hingga 16 jam sehari, mengelilingi dunia dengan menggunakan jet Gulfstream beliau (yang mampu terbang dari Paris ke Tokyo tanpa henti), bermesyuarat dengan ahli politik, melawat kilang dan para pengedar selain bermesyuarat dengan para eksekutif dan lembaga pengarah.

carlos-ghosn-mekanika

Beliau menghabiskan satu pertiga masa di Jepun dan satu pertiga masa di Paris. Bagi satu pertiga pula dihabiskan di serata dunia di sekitar 68 negara di mana pakatan ini mempunyai kilang pengeluaran!

Bayangkan stamina yang perlu ada untuk tugas seperti ini. Ghosn berkata beliau cukup menjaga kesihatan dengan memastikan pengambilan masakan berkhasiat, tidur yang cukup dan bersenam.

Kehebatan Ghosn memulihkan Nissan sekitar tahun 1999 dan memastikan syarikat ini mampu menggandakan keuntungan hanya dalam masa dua tahun telah memberikan inspirasi kepada syarikat penerbitan Jepun untuk menghasilkan buku komik tentang beliau.

Karya manga itu telah terjual sebanyak 300,000 salinan!

Ghosn menegaskan bahawa kereta elektrik akan memacu Renault-Nissan dan akan menjadi pengeluar utama kenderaan dunia. Walaupun Nissan Leaf menjadi model terlaris di Amerika dan Eropah, ianya masih jauh dengan sasaran Ghosn yang mensasarkan 500,000 unit.

Di mana silapnya? Ghosn menegaskan ini adalah berikutan kurangnya stesen-stesen untuk mengecas berbanding dengan stesen petrol untuk enjin pembakaran dalaman. Di Amerika contohnya, Cuma terdapat 10,000 stesen pengecas berbanding 115,000 stesen minyak di seluruh negara.

06 Nissan LEAF_front

Tidaklah teruk sangat untuk teknologi baru tetapi  anda harus ingat, untuk mengecas sebuah kereta elektrik masa yang diperlukan ialah tiga hingga ke empat jam. Tetapi masa yang diperlukan untuk mengisi penuh petrol ataupun disel hanyalah lima minit.

Itu bukan masalah di masa depan kerana menurut Ghosn, kereta elektrik akan mampu bergerak sehingga jarak 300 batu untuk sekali cas. Beliau juga percaya tidak lama lagi akan muncul teknologi mengecas super-laju yang mampu memenuhkan bateri kereta elektrik Cuma dalam masa 12 minit.

“Kami sudah mempunyai prototaip yang mampu melakukannya,” sambung Ghosn.

Selagi Ghosn masih berkhidmat sebagaai CEO Pakatan Renault-Nissan, keyakinan terhadap syarikat-syarikat ini adalah amat tinggi. Tetapi bagaimana hala tuju pakatan ini selepas Ghosn bersara yang diramalkan dalam empat tahun lagi?

Mampukah pengganti beliau berkerja sepertinya?

BACA: SIAPA SEBENARNYA MICHIO SUZUKI SUZUKI?

BACA: BEREHATLAH DENGAN TENANG: YUTAKA SAN

BACA: SELAMAT TINGGAL HASEGAWA SAN (1945-2016)

Google ads
Back to top button