Buletin

CATAT RUGI RM15.7 BILION, 2 EKSKUTIF KANAN GRAB LETAK JAWATAN

Dua orang eksekutif kanan Grab Holding dilapor meletak jawatan ketika syarikat e-hailing terkenal di Asia Tenggara itu dilihat terus mencatatkan kerugian. 

Chris Yeo yang mengetuai divisyen pembayaran dan ganjaran Grab telah bersama firma berkenaan selama hampir enam tahun meninggalkan Grab bersama Jeffrey Goh yang bertangungjawab ke atas aspek gerbang pembayaran. Mereka berdua adalah dari unit Grab Financial Group (GrabFin). 

GrabFin berperanan menyediakan perkhidmatan seperti pembayaran digital, pembiayaan, insurans dan pengurusan kekayaan. Ia juga merupakan divisyen penting dalam strategi pertumbuhan Grab di rantau ini. 

Perletakan jawatan itu berlaku ketika kerugian Grab naik kepada AS$3.6 bilion (RM15.7 bilion) pada tahun 2021 berbanding AS$2.7 bilion (RM11.8 bilion) pada tahun sebelumnya. Namun, perolehannya naik 44 peratus dengan para pelabur memberi fokus bagaimana untuk mengurangkan kerugian. 

Sejak disenaraikan di Nasdaq dengan rekod penggabungan sebanyak AS$40 bilion (RM17.5 bilion), nilai Gab jatuh sebanyak tiga perempat apabila saham firma teknologi dilihat terus merudum.  

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan memberitahu penganalisis bahawa hala tuju Grab kini adalah untuk mencatat keuntungan menerusi pengurusan kos yang berdisiplin.

Grab yang beroperasi di 480 buah bandar di Asia Tenggara mempunyai lebih lima juta pemandu berdaftar dan dua juta pedagang di dalam platformnya.

Google ads
Back to top button