Buletin

CHERY QQ ICE CREAM. EV MINI UNTUK PASARAN CHINA. 27PS, TOP SPEED 100KM/J, 170KM SEKALI CAJ

Persaingan kenderaan elektrik (EV) bersaiz kecil di China memang cukup sengit. Pengeluar EV di negera tersebut mula mengambil perhatian terhadap segmen itu selepas model Wuling Hongguang MINI EV mendapat sambutan hangat. 

Terbaharu, Chery memperkenalkan EV mini yang dikenali sebagai QQ Ice Cream. Kali terakhir Chery menggunakan nama QQ adalah pada tahun 2015 menerusi model QQ, QQ3, hatchback QQ Me dan sedan QQ6. 

Jelas bahawa QQ Ice Cream disasarkan kepada pelanggan wanita yang mahukan sebuah mode pengangkutan comel serta hadir dalam warna-warna menarik seperti kuning, merah jambu, turquoise, ungu dan biru. Seperti yang boleh dilihat, ia tampil dengan rekaan berkotak, tayar kecil (12 inci) dan badan dua tona. 

Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu utama bersama lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk U. Bahagian bawah pula dipasang dengan gril berwarna hitam dan perumah lampu kabus. Pandangan sisi EV itu nampak menarik dengan garis badan pada fender hadapan dan belakang. 

Bahagian belakang pula meneruskan rekaan lampu berbentuk U, selain kaca tingkap berwarna hitam, lampu brek ketiga dan sepasang lampu kabus. Setakat ini, tiada foto ruang kabin yang dikongsi oleh Chery. Namun, kita boleh mengharapkan rekaan susun atur yang minimalis, kluster instrumen digital dan skrin sentuh untuk sistem audio.   

Chery membekalkan QQ Ice Cream dengan motor elektrik tunggal berkuasa 27hp yang mampu mencatat kelajuan maksimum 100km/j. Sekali caj penuh membolehkannya bergerak sejauh 170km. 

Jentera itu merupakan EV pertama di bawah iCar Ecology, satu sub divisyen di bawah Chery yang melibatkan integerasi rentas sempadan. Ini bermaksud Chery bekerjasama dengan syarikat-syarikat di luar industri automotif untuk membentuk satu ekosistem. 

iCar Ecology telah menandatangani perjanjian dengan Haier dan Alibaba Cloud untuk membangunkan perkhidmatan Internet of Things (IoT) berasaskan kepada awan. Ini membolehkan kenderaan dihubungkan dengan peranti lain di rumah, pejabat, pusat membeli-belah dan restoran. 

Dari segi dimensi, ia hanya sepanjang 2,980mm, lebar 1,496mm, tinggi 1,637mm dan tapak roda 1,960. Senang cakap, ia lebih kecil berbanding Perodua Axia. EV tersebut juga hanya mempunyai berat bermula 699kg, bergantung kepada spesifikasi. 

Biarpun begitu, ruang dalamannya masih boleh memuatkan empat orang penumpang dengan selesa. Pelanggan boleh memilih tempat duduk belakang berasingan atau jenis bench. 

QQ Ice Cream dijangka dijual pada harga bermula 30,000 yuan (RM19,385), sedikit mahal berbanding Wuling Hongguang MINI EV yang berharga 28,800 yuan (RM18,600). 

Google ads
Back to top button