Buletin

COVID 19: DUBAI GANTUNG PENERBANGAN AIR INDIA EXPRESS SEHINGGA 2 OKTOBER

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Dubai menggantung penerbangan Air India Express selama 15 hari bermula Jumaat hingga 2 Oktober.

Syarikat penerbangan terbabit didakwa melanggar peraturan dengan membawa penumpang yang disahkan positif Covid-19 sebanyak dua kali sejak beberapa minggu lalu.

Menurut pihak berkuasa itu, membawa penumpang positif Covid-19 ketika pendemik adalah menjadi kesalahan dan melanggar prosedur serta protokol ditetapkan berkaitan perjalanan keluar serta masuk lapangan terbang di Emirates Dubai. 

“Justeru, semua operasi Air India Express ke Lapangan Terbang Dubai ditangguhkan buat sementara waktu selama 15 hari, berkuat kuasa dari Jumaat, 18 September hingga 2 Oktober,” kata kenyatan komunikasi dari Lembaga Penerbangan Awam Dubai.

Mengikut peraturan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), setiap penumpang yang melakukan perjalanan dari India perlu membawa sijil negatif Covid-19 ujian RT-PCR asal yang dibuat 96 jam sebelum perjalanan.

Syarikat penerbangan berkenaan juga diminta mengemukakan rancangan mengenai langkah yang akan diambil menangani perkara itu atau pelaksanaan prosedur terperinci bagi mengelakkan kejadian sama berulang dan membolehkan penerbangannya ke Dubai disambung semula. – Bernama

Google ads
Back to top button