Buletin

COVID-19: WANITA 2 HARI TAK MAKAN MENINGGAL DUNIA. PANDEMIK KEBULURAN BAKAL ANCAM 130 JUTA ORANG

Seorang ibu di wilayah Banten, Indonesia yang mengadu dua hari tidak makan, meninggal dunia sehari selepas ditemubual sebuah stesen televisyen tempatan.

Kisah kesusahan keluarga Yuli Nuramelia, 43, bersama suami dan empat orang anak itu yang terkesan teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19) disiarkan di YouTube KompasTV pada 19 April. Dia kemudian sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 20 April pukul 3.00 petang.

Kisah pilu Yuli dan keluarganya itu turut viral dalam media sosial di Indonesia. Wanita malang itu dilaporkan hanya meminum air kosong selama dua hari untuk kelangsungan hidup kerana tidak lagi mampu membeli makanan dan beras.

Bagaimanapun, Ketua kampung Lontar Baru, Dedi Suradjat dipetik media tempatan menolak dakwaan itu.

“Kalau penyebab kematiannya, saya belum tahu, tapi doktor bilang (memberitahu) bukan Covid-19. (Sebab lapar) saya kira bukan itu. Pihak puskesmas (pusat Kesihatan Masyarakat) bilang bukan (meninggal) kerana kelaparan,” katanya.

Dalam laporan berita Kompas pada 19 April, 2020, bertajuk ‘Memprihatinkan, Satu Keluarga Kelaparan Tak Makan 2 Hari karena Dampak Corona’, turut mengisahkan suami kepada Allahyarhamah iaitu Mohamad Holik, 49, yang bekerja sebagai pemungut barang-barang terpakai. Holik sudah tidak lagi dapat menjual barangannya berikutan tempat pembelian barangan itu ditutup.

Seorang sukarelawan yang menyampaikan bantuan kepada keluarga itu, Rochman Setiawan yang dipetik media tempatan berkata, jika ada pihak yang mengatakan keluarga itu tidak kelaparan adalah satu pembohongan.

“Kalau ada yang bilang keluarga Ibu Yuli enggak kelaparan, itu bohong. Waktu saya kasi bantuan (pada jam 10 pagi, 20 April) itu roti, langsung dimakan sama anaknya,” katanya.

Menurut Kementerian Tenaga Kerja Indonesia, setakat 15 April lepas, lebih 2.8 juta hilang pekerjaan. Sementara berjuta-juta lagi yang berpendapatan harian terjejas teruk selepas pelaksanaan perintah Pembatasan Sosial Berskala Besar secara berperingkat-peringkat bermula 16 Mac lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, penularan COVID-19 bakal menyaksikan tambahan seramai 130 juta orang diancam kebuluran. 

“Jutaan orang awam yang tinggal di negara dilanda konflik termasuk wanita dan kanak-kanak diancam kekurangan makanan dan keadaan itu diramal akan menjadi lebih buruk,” kata Pengarah Eksekutif Program Makanan Dunia (WFP) David Beasley. 

Menurut pakar, 821 juta orang terpaksa tidur dalam kelaparan. Laporan Global mengenai Krisis Makanan yang baru diterbitkan menunjukkan 135 juta lagi bakal menghadapi situasi sama atau mungkin lebih teruk.

“Bermakna 135 juta orang kini di ambang kebuluran. Tetapi sekarang analisis WFP menunjukkan disebabkan Covid-19 tambahan 130 juta lagi akan diancam kebuluran pada akhir 2020. Keseluruhan seramai 265 juta orang,” katanya.

Beliau turut memberi amaran 36 negara mungkin menghadapi krisis kebuluran akibat virus itu. – Bernama

Google ads
Back to top button